Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Aksi suku akhir pertama TM Piala Malaysia 2021 melibatkan dua kelab gergasi tanah air, Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) berakhir tanpa jaringan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar sebentar tadi.

Berkunjung ke gelanggang lawan tanpa sentuhan Gonzalo Cabrera tidak mengganggu rentak juara edisi 2019 itu untuk menampilkan corak permainan lebih tersusun dan memberikan tekanan buat kubu skuad ‘Helang Merah’.

Bagaimanapun, jentera pertahanan Kedah yang diketuai Renan Alves dan Rodney Celvin Akwensivie jelas cukup berdisiplin dalam mengekang asakan diberikan skuad kendalian Benjamin Mora itu.

Aksi pada 45 minit awal tidak banyak yang dapat diperkatakan apabila hanya percubaan sepakan percuma dari jauh diledakkan Safawi Rasid serta tandukan lambung Mauricio Dos Santos Nascimento sedikit menguji penjaga gol Kedah, Mohd Shahril Sa’ari.

Memasuki babak kedua, ketandusan jaringan berterusan walaupun kedua-dua pasukan meningkatkan tempo permainan dalam usaha mereka memburu gol yang diharapkan.

Susulan dengan peningkatan tempo tersebut, aksi lebih keras dapat disaksikan dengan beberapa terjahan keras dilakukan serta insiden provokasi menghiasi baki permainan.

Kedah mendapat peluang untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-72 apabila Rizal Ghazali melakukan lorongan cantik buat Aiman Afif Md Afizul dalam kawasan penalti.

Tetapi tolakan dilakukan penyerang muda Kedah tersebut sedikit tersasar untuk menyelamatkan pintu gol JDT yang dikawal Farizal Marlias.

Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, JDT mendapat peluang keemasan untuk meraih kemenangan tetapi sepakan percuma cantik daripada Leandro Velasquez ditepis Shahril Sa’ari manakala percubaan susulan Bergson da Silva pula tersasar untuk perlawanan berkesudahan terikat tanpa jaringan.

 

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group