Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Hari ini telah berlangsung undian rasmi kejohanan tertua di Asia, TM Piala Malaysia 2021 yang menyambut ulang tahun ke-100 pada musim ini.

Berdasarkan keputusan undian, Kumpulan A dilihat menyajikan saingan hebat apabila Penang FC, Kuala Lumpur City FC, Sri Pahang FC dan pasukan yang berada di posisi dua Liga Premier akan berentap mencari dua slot ke suku akhir TM Piala Malaysia 2021.

Penang yang menamatkan cabaran Liga Super di tangga ketiga dijangka bakal berdepan tentangan hebat Kuala Lumpur City yang mencipta sejarah musim ini apabila menjadi satu-satunya pasukan tidak pernah tewas di laman sendiri pada saingan Liga Super.

Sementara itu, Sri Pahang FC tidak boleh dipandang rendah berdasarkan pengalaman tersendiri yang dimiliki Dollah Salleh yang pernah membawa pasukan itu muncul juara pada 2013.

Saingan Kumpulan B tidak kurang hebatnya dengan tiga pasukan yang mempunyai tradisi tersendiri di TM Piala Malaysia iaitu Terengganu FC, Selangor FC dan Perak FC bakal berentap sesama sendiri selain satu lagi slot dari pasukan di posisi ketiga Liga Premier.

Naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC akan bertemu kembali dengan lawan yang terakhir ditemui di pentas Liga Super, Melaka United FC di Kumpulan C selain pasukan pertama dan kelima posisi Liga Premier.

Juara Liga Super dan penyandang juara TM Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) diundi bersama PJ City FC dan Sabah FC dalam Kumpulan D, sementara satu lagi pasukan dari posisi keempat Liga Premier.

Buat masa ini, dua pasukan teratas Liga Premier, Negeri Sembilan FC dan Sarawak United telah mengesahkan tempat di TM Piala Malaysia sementara tiga lagi slot menjadi rebutan PDRM FC, Kuching City FC, Kelantan FC dan Kelantan United FC.

Kembali kepada format kumpulan dengan enam perlawanan akan dilalui setiap pasukan, perlawanan sulung TM Piala Malaysia akan berlangsung pada 25 dan 26 September ini.

Saingan peringkat kumpulan akan berakhir pada 9 dan 10 November sebelum saingan suku akhir akan diadakan secara timbal balik pada 14 dan 18 November.

Aksi separuh akhir pada 22 dan 26 November juga secara timbal balik manakala perlawanan akhir bakal diadakan pada 30 November di venue berkecuali.

Sebanyak 48 perlawanan peringkat kumpulan akan dilangsungkan, lapan di peringkat suku akhir, empat bagi separuh akhir dan satu perlawanan akhir dengan jumlah keseluruhan adalah 61 perlawanan.

Di peringkat suku akhir, juara Kumpulan A bakal bertemu naib juara Kumpulan B sementara Juara Kumpulan B menentang naib juara Kumpulan A.

Dua lagi perlawanan suku akhir akan membabitkan juara Kumpulan C dan naib juara Kumpulan D manakala juara Kumpulan D berdepan naib juara Kumpulan C.

Pemenang pertemuan juara Kumpulan A/naib juara Kumpulan B akan bertemu pemenang juara Kumpulan C/ naib juara Kumpulan D di peringkat separuh akhir.

Satu lagi separuh akhir membabitkan pemenang juara Kumpulan B/ naib juara Kumpulan A dan pemenang juara Kumpulan D / naib juara Kumpulan C.

Dua pemenang pada peringkat separuh akhir ini akan bertemu pada perlawanan akhir yang dijadualkan pada 30 November.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Baddrol Bakhtiar Muncul Sebagai Penjaring Terbanyak Pemain Tempatan Liga Super 2021

Isu Pertukaran Pemain: Empat Pegawai Perlawanan Digantung Tugas Selama Tiga Bulan

Liga Super: Ifedayo Olesegun Pecahkan Rekod Mohamad Ghaddar

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group