Masalah ketumpulan di bahagian penyudah menjadi antara aspek yang paling menggusarkan ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh bagi menghadapi Penang FC di Stadium Darul Makmur, pada malam ini.

Justeru beliau mengharapkan jentera serangan yang diketuai penyerang import dari Australia, Kenny Athiu mampu lebih tajam dalam menyempurnakan peluang terhidang bagi membantu Sri Pahang kembali bernafas dalam saingan TM Piala Malaysia 2021.

Ujar Dollah, beliau sememangnya tiada pilihan selain mengharapkan kepada Kenny bagi membantu Sri Pahang kerana penyerang berusia 29 tahun ini mempunyai pengalaman yang cukup baik berbanding pemain lain.

“Saya kalau boleh tidak mahu berikan tekanan kepada Kenny tetapi dia kena faham memandangkan sebagai penyerang import dan profesional, dia perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai penyerang.

“Namun, jika dia berulang kali melepaskan peluang, semestinya situasi ini satu kerugian kepada pasukan dan saya juga dalam situasi tiada pilihan lain.

“Saya harap Kenny dapat membuat sesuatu pada perlawanan akan datang dan cuba menyudahkan peluang yang hadir.

“Secara keseluruhan, kita sudah banyak mencipta peluang dalam kebanyakan perlawanan cuma gagal menjaringkan gol dan hanya masalah ini membuatkan saya kurang gembira,” katanya kepada MFL.

Sri Pahang kini menduduki tangga terakhir Kumpulan A tanpa sebarang mata selepas tewas kepada Kuala Lumpur City (1-3) dan Sarawak United (0-1).

Sebarang kekalahan di tangan Penang FC dijangka hampir menutup rapat peluang Sri Pahang ke peringkat suku akhir yang pasti ingin dielakkan oleh anak buah Dollah Salleh.

Dalam pada itu, Dollah mengesahkan semua pemain Sri Pahang berada dalam keadaan bersedia untuk diturunkan termasuk Aung Kaung Mann yang sebelum ini terpaksa berehat panjang ekoran kecederaan.

Beliau berharap semua pemain tidak berada dalam tekanan bagi memburu kemenangan sebaliknya lebih memikirkan aspek memperbaiki kelemahan di atas padang.

“Persiapan selama sebulan berjalan dengan baik dan saya mempunyai pilihan untuk menurunkan mana-mana pemain kerana semuanya sudah pulih dari kecederaan.

“Kaung Mann yang sebelum ini tidak dapat beraksi dalam beberapa perlawanan lalu sudah boleh beraksi tetapi saya belum ada perancangan menggunakannya dalam kesebelasan utama kerana faktor kecergasan.

“Tekanan memang dirasai oleh semua pemain cuma saya tidak mahu mereka merasai itu satu beban di saat kritikal sebegini kerana saya takut kelak segala perancangan kita tidak menjadi.

“Jangan main ikut nafsu sebaliknya fikirkan bagaimana bermain sebagai satu pasukan apabila dalam situasi menyerang atau bertahan, itu boleh membantu kemenangan pasukan,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

MFL Kini Mempunyai Akaun Rasmi TikTok

Kem Latihan Harimau Malaya Bermula Selepas Tamat Separuh Akhir Piala Malaysia

Jaringan Park Tae-Su ‘Mendunia’, Pakar Cadang Hantar Ke Puskas

KFA Akan Berunding Dengan LHDN Untuk Hapus Kira Tunggakan Cukai Tahun Lalu