Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh menghamburkan pujian kepada pemainnya ketika mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Penang dalam saingan Piala Malaysia 2021 di Stadium Darul Makmur kelmarin.

Beliau menyifatkan penyerang import dari Australia, Kenny Athiu banyak membantu merencanakan serangan dalam perlawanan itu walaupun tidak menjaringkan sebarang gol. Situasi itu turut membuka ruang kepada penyerang tempatan, Malik Mat Ariff untuk menjaringkan 2 gol sekaligus mengatasi masalah ketumpulan penyudah.

Ini adalah kemenangan pertama mereka sejak lapan perlawanan lalu termasuk enam aksi di pentas Liga Super.

“Saya harus beri pujian kepada semua pemain terutamanya kepada Kenny juga sebab walaupun dia tak menjaringkan gol, tetapi perlawanan semalam (Sabtu lalu) menyaksikan dia antara yang turut memainkan peranan penting.

“Dia banyak membantu di bahagian serangan dan berjaya membuka ruang kepada Malik untuk dia menjaringkan dua gol.

“Malik pula saya memang dah nampak dia memang ada kelebihan sebagai penyerang sebab sebelum ini selalu juga bertukar-tukar posisi, tetapi sekarang saya nampak kehadiran dia untuk selalu membuka ruang di bahagian tengah.

“Sebelum ini saya banyak beri kata dua kepada pemain-pemain supaya mereka tidak rasa seolah-olah kita tiada peluang lagi, dan itu yang saya tekankan dalam latihan malah mereka sendiri ada yang bantu saya bagi idea menunjukkan mereka bersemangat tinggi untuk beraksi,” jelasnya seperti dipetik dalam MFL.

Malik merupakan bekas penjaring terbanyak Liga Premier dan pernah raih Anugerah Kasut Emas Liga Premier 2017 selepas menjaringkan 18 gol ketika bersama Kuantan FA.

Menjelang pertembungan kedua dengan Penang pada Rabu ini, Dollah mengharapkan momentum kemenangan dapat diteruskan memandangkan peluang sudah kembali terbuka untuk merebut slot ke suku akhir selepas tewas dua perlawanan lalu.

Baginya, pintu masih belum tertutup untuk Pahang cuba meraih pencapaian terbaik di pentas TM Piala Malaysia dan tidak hanya berakhir di peringkat kumpulan sahaja sepertimana yang pernah dilakukan pasukan ini pada musim 2016.

“Betul, peluang kembali terbuka tetapi bukan mudah dan saya percaya kalau kita kekalkan momentum ini untuk dibawa ke Penang nanti, InsyaAllah kenapa tidak untuk kita layak ke suku akhir.

“Kita tahu Penang bermain tanpa beberapa tonggak, tetapi kita pun sama apabila selalu juga susah untuk dapatkan kesebelasan terbaik, namun pemain-pemain saya buktikan mereka mampu beraksi,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Piala Malaysia 2021: PJ City Sedia Tumbangkan Kelantan Di Kota Bharu

MFL Kini Mempunyai Akaun Rasmi TikTok

Kem Latihan Harimau Malaya Bermula Selepas Tamat Separuh Akhir Piala Malaysia