Johor Darul Ta’zim (JDT) menggunakan sebaiknya kesempatan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri bagi mengesahkan tempat ke aksi separuh akhir TM Piala Malaysia 2021 selepas berjaya menundukkan Kedah 1-0, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan kira-kira 16 ribu penyokong di laman sendiri, JDT tampil dengan cukup bersemangat untuk meraih kemenangan setelah skuad kendalian Benjamin Mora itu diikat pada pertemuan pertama tempoh hari di Alor Setar.

Manakala anak buah Aidil Sharin Sahak pula kelihatan cukup bergelut untuk memecah masuk jentera pertahanan JDT sehingga menyebabkan penjaga gol, Farizal Marlias hanya lebih banyak berehat di gawangnya.

Mora membuat sedikit rombakan terhadap kesebelasan utamanya apabila beliau meletakkan Guilherme De Paula bagi menggantikan Bergson da Silva yang dilaporkan mengalami kecederaan dan Gonzalo Cabrera kembali beraksi untuk mengembalikan Safawi Rasid ke bangku simpanan.

Sementara itu, Kedah pula tidak dapat menggunakan khidmat Rabih Ataya dan Anumanthan Kumar ekoran tugasan mereka bersama skuad kebangsaan masing-masing.

Pemain yang ketika ini diberikan perhatian meluas berikutan ketiadaannya dalam latihan pusat skuad kebangsaan, Arif Aiman Mohd Hanapi jelas menjadi duri dalam daging buat Kedah pada malam ini.

Pemain berusia 19 tahun itu seringkali memberikan ancaman hebat buat barisan pertahanan Kedah berbekalkan kelincahan dan kepantasan lariannya.

Ia jelas dibuktikan apabila pemain sayap itu berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-40 setelah percubaannya dalam kawasan penalti setelah menerima lorongan cantik daripada Leandro Velazquez berjaya menewaskan penjaga gol, Mohd Shahril Sa’ari.

Jaringan itu nyata meningkatkan moral para pemain tuan rumah dan skuad Harimau Selatan hampir menambah jaringan berselang empat minit kemudian menerusi De Paula.

Berpunca daripada hantaran lintang di sebelah kanan pintu gol Kedah yang dilakukan Nazmi Faiz Mansor terus mencari De Paula tetapi tolakan rendah pemain naturalisasi negara itu dinafikan Shahril menggunakan kakinya.

Memasuki babak kedua, JDT terus menggandakan usaha untuk menambah jaringan dan Arif Aiman memiliki dua peluang terbaik bagi melebarkan kedudukan.

Namun, Shahril tidak mahu gawangnya daripada terus dibolosi apabila beliau bertindak cemerlang menggagalkan percubaan dalam kawasan penalti diledakkan Arif pada minit ke-48 dan 53.

Shahril terus menyelamatkan maruah pasukan pelawat daripada dibolosi dengan lebih banyak gol selepas beliau bekerja keras dalam menepis sepakan percuma dari Leandro untuk keputusan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan.

Dengan kemenangan itu, JDT bakal berhadapan dengan seteru utama pada musim ini, Terengganu yang mudah mencatatkan kemenangan agregat 6-3 ke atas Sarawak United di peringkat separuh akhir TM Piala Malaysia 2021.