3 hari lepas, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula 14 oktober sehingga 27 oktober ini berikutan peningkatan kes wabak COVID-19.

Semua aktviti sukan dan rekreasi tidak lagi dibenarkan berlangsung sekaligus memberi bayangan saingan Piala Malaysia pada tahun ini kemungkinan terpaksa dibatalkan.

Bagaimanapun, Malaysian Football League (MFL) telah membuat keputusan untuk meminda tarikh saingan Piala Malaysia yang pada awalnya dijadualkan pada 25-26 Oktober 2020 ditukar ke tarikh baharu iaitu 6, 7 dan 8 November 2020.

Namun begitu, perlaksanaan PKPB turut menjejaskan persiapan pasukan yang berpusat di lembah klang seperti Kuala Lumpur dan UiTM FC untuk memastikan tahap kecergasan mereka lebih bersedia sebelum menghadapi perlawanan pertama.

Perkembangan itu diakui oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa yang bimbang tanpa latihan sepanjang tempoh PKPB itu akan menjejaskan momentum barisan pemain.

“Ikutkan jika pemain-pemain tidak berlatih sehari pun, tahap kecergasan mereka boleh menurun… inikan pula dalam tempoh dua minggu. Saya berharap MFL dapat melihat kembali perkara ini.

“Jadi kami minta jasa baik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL untuk mempertimbangkan dalam tempoh PKPB ini sahaja membenarkan pemain-pemain Kuala Lumpur turun berlatih,” katanya kepada Sinar Harian

Tempoh

Sumber Gambar: MFL

Sementara itu, Setiausaha Agung UiTM FC, Mustaza Ahmad, menyifatkan perlaksanaan PKPB ini memberi kelebihan kepada pasukan dari luar lembah klang kerana mereka sempat melakukan persiapan rapi dan mengadakan perlawanan persahabatan selama dua minggu.

“Pada saya bukan hanya UiTM FC sahaja yang akan terjejas tetapi juga pasukan Lembah Klang lain seperti Selangor, PJ City dan Kuala Lumpur turut sama terkesan apabila tidak dapat menjalani latihan sebagai persediaan bagi saingan Piala Malaysia.

“Tanpa latihan sepanjang tempoh dua minggu sepanjang PKPB ini sahaja sudah cukup menjejas tahap kecergasan pemain-pemain tambahan pula saingan Piala Malaysia dijadualkan bermula pada 6, 7 dan 8 November.

“Pada saya ini tidak adil untuk pasukan Lembah Klang dan memberi kelebihan yang nyata kepada pasukan luar Lembah Klang yang boleh menjalani latihan,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

3 Gol Dalam 3 Perlawanan, Nik Sharif Mula Jadi Bualan Peminat Bola Sepak Tempatan

Aidil Sharin Sifatkan Tempoh 3 Minggu Cukup Untuk Persiapan, Nafuzi Zain Atur ‘Sparring Match’ Dengan Terengganu FC II

Ciapan ‘Cari Pasal’ Tan Sri Annuar Musa Cetus Kecaman Dari Netizen, Dilabel Kurang Sensitif Kepada Isu Lebih Penting

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group