Perlawanan Piala Malaysia Kumpulan B membabitkan pasukan PKNP FC dengan PJ City FC yang sepatutnya berlangsung malam ini di Stadium Majlis Perbandaran Manjung terpaksa ditunda sekali lagi berikutan sebahagian besar pemain dan pegawai kelab berkenaan masih di dalam tempoh arahan isolasi/kuarantin akibat wabak Influenza B.

Pengumuman penundaan perlawanan itu dibuat oleh badan pentadbir liga, Malaysia Football League (MFL) hari ini setelah mendapat persetujuan daripada Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas menerima permohonan PJ City

Permohonan PJ City itu juga disokong dengan surat arahan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Manjung bertarikh 19 September 2019.

Sehubungan itu, perlawanan keenam Kumpulan B di antara PKNP dengan PJ City yang dijadual berlangsung pada hari ini (20 September) terpaksa ditunda pada Ahad (22 September).

Penundaan perlawanan penentuan satu slot ke suku akhir Piala Malaysia itu juga sekali gus menyebabkan tarikh aksi timbal balik suku akhir menentang Kedah turut terpaksa ditunda.

68362189_729173777515935_1109802420956823552_o
FOTO: PJ City

Perlawanan suku akhir pertama yang menemukan pemenang di antara PKNP dan PJ City dengan Kedah pada asalnya dijadual pada Selasa ini (24 September) dipinda pada Rabu (25 September).

Manakala aksi suku akhir kedua pada Sabtu (28 September) dipinda pada Ahad (29 September).

Menurut Ketua Jurulatih PJ City K Devan, beliau amat berterima kasih kepada MFL kerana memahami situasi buruk yang menimpa anak buahnya.

“Saya banyak berterima kasih kepada MFL kerana sudi mendengar rayuan serta masalah yang kami sedang alami memandangkan pemain masih dalam proses pemulihan daripada Influenza.

“MFL jelas bertimbangrasa walaupun kami sedar mereka berdepan jadual yang begitu ketat dalam menunda tarikh perlawanan walaupun kami ada meminta tempoh rehat 14 hari.

“Namun tempoh 48 jam ini sekurang-kurangnya berikan kami sedikit lagi masa untuk beberapa pemain cuba pulih sepenuhnya bagi berdepan dengan PKNP,” katanya.

Sementara itu, keputusaan penundaan perlawanan itu turut disambut baik oleh Ketua Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim.

“Saya menghormati keputusan yang dikeluarkan oleh MFL ini demi semangat kesukanan kepada PJ City kerana ramai pemainnya sedang menghadapi masalah kesihatan berkaitan Influenza.

“Biarpun penundaan ini sudah masuk kali kedua, kami faham dan akur dengan apa diputuskan MFL selepas mengambil kira keadaan pasukan lawan.

“Sudah pasti, kedua-dua pasukan mahu yang terbaik untuk pasukan masing-masing terutama pada aksi paling penting bagi memburu tiket ke suku akhir Piala Malaysia,” jelasnya.

67230432_2364967573824289_2780296780703596544_n
FOTO: PKNP FC

Sementara itu, Kedah yang muncul juara Kumpulan A dan hanya menanti pemenang perlawanan terakhir Kumpulan B itu turut akur dengan keputusan MFL atas dasar semangat kesukanan yang tinggi.

“Di pihak KFA, kami gembira cadangan maklum balas yang diberikan kepada MFL dengan anjakan satu hari daripada tarikh asal suku akhir pertama dan kedua diterima oleh pihak mereka.

“Kami memahami kesulitan yang dihadapi MFL dalam memastikan kepentingan semua pihak terjaga selain sedar situasi yang boleh dianggap sebagai luar jangka.

“Walaupun ada menjejaskan sedikit perancangan pasukan kerana penundaan ini namun saya rasa tarikh ini masih boleh dipertimbangkan buat kami dalam hadapi aksi suku akhir,” kata Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Shahrul Samsudin.

Tahukah anda, PJ City mungkin akan menggunakan seorang atau dua pemain import untuk saingan Liga Malaysia musim depan. 

PJ City Mahu Kurangkan Pengambilan Pemain Import Dan Mengutamakan Bakat Tempatan Musim Depan

Sumber