Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tidak menganggap kemenangan 1-0 ke atas Terengganu FC pada aksi pertama suku akhir Piala Malaysia minggu lepas sebagai satu kelebihan meskipun beraksi di halaman sendiri pada pertemuan kedua malam ini.

Katanya dalam Arena Metro, ia bukan jaminan anak buahnya akan mara ke separuh akhir kerana Terengganu FC pasti akan bermain mati-matian untuk menyingkirkan pasukannya seperti mana yang dilakukan pada tahun lepas.

Justeru itu, beliau mahu para pemainnya memberi tumpuan 100 peratus di atas padang dan mengelakkan daripada melakukan kesilapan mudah.

“Kami tidak anggap kemenangan 1-0 ke atas TFC memberi jaminan slot ke separuh akhir. Sebaliknya ada baki 90 minit lagi yang harus diharungi dan dalam permainan bola sepak macam-macam boleh berlaku.

“Terus terang saya katakan, persembahan ketika menewaskan TFC cukup menggembirakan kerana kita tahu memang sukar untuk mencipta kemenangan apabila beraksi di Kuala Terengganu dan pemain menunjukkan komitmen yang tinggi pada aksi suku akhir pertama.

“Kini kami sudah membuat persiapan rapi dan memperbaiki apa jua kelemahan di posisi bek, tengah dan serangan kerana kami mahu memburu kemenangan dan strategik yang ampuh tanpa memberi ruang kepada lawan menguasai bola,” katanya.

Benjamin Mora
Benjamin Mora. FOTO: JST

Berdasarkan rekod pertemuan musim ini, kali terakhir skuad Terengganu bertemu JDT di Larkin ialah pada 19 Julai lalu dan mereka berjaya mengikat Harimau Selatan 3-3 dalam saingan Liga Super.

“Fokus dan sentiasa tenang ketika beraksi menjadi kunci utama setiap pemain yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama. Malah latihan menjelang pertembungan suku akhir kedua jelas tampak begitu positif,” tambah Benjamin Mora.

Sementara itu, pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui tugas sukar sedang menanti anak buahnya kerana mereka berdepan sebuah pasukan yang berkualiti.

“Tekanan memang ada, jadi kami perlu melupakan tekanan itu. Apa yang penting, kami perlu fokus dan kekal dengan matlamat kami untuk ke separuh akhir dengan memenangi perlawanan di sini,” jelasnya.

Artikel lain berkaitan perkembangan Piala Malaysia boleh baca di sini. 

Piala Malaysia 2019: PKNP FC Tekad Singkirkan Lang Merah

Piala Malaysia 2019: Tok Gajah Sebelah Kaki Ke Separuh Akhir

Sumber