Juara liga super 6 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) tiada masalah untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2019 selepas membelasah Terengganu FC, 4-1 pada perlawanan kedua suku akhir di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Berbekalkan kelebihan 1-0 ketika bertandang ke Kuala Terengganu minggu lalu, skuad Harimau Selatan bermula dengan garang apabila terlebih dahulu membuka akaun jaringan pada minit ke 16 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Gonzalo Cabrera.

6 minit kemudian, Stadium Larkin sekali lagi bergegar dengan sorakan penyokong tuan rumah apabila Safawi Rasid mencetak nama selaku penjaring melalui sepakan percuma yang cantik menewaskan penjaga gol Terengganu, Ilham Amirullah.

Dua gol itu jelas telah mematahkan semangat pemain Terengganu FC yang tekad memadamkan kelebihan jaringan yang dimiliki oleh tuan rumah, namun segala-galanya serba tidak menjadi dan mereka gagal pamerkan corak permainan sebenar.

Pada minit ke 36, Safawi Rasid terus menambah derita pelawat selepas melepaskan rembatan voli kaki kiri hasil hantaran daripada Diogo Luis Santo.

Skuad kendalian Nafuzi Zain juga kerap kehilangan bola setiap kali bermain hantaran pendek dan kelemahan itu dimanfaatkan oleh Corbin Ong yang mudah merampas bola serta melakukan serangan balas lalu ditampan masuk Cabrera untuk menjadikan kedudukan kepada 4-0.

Satu minit sebelum tamat separuh masa pertama, Terengganu mula mempamerkan kebangkitkan menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh Lee Tuck yang menewaskan Farizal Marlias.

Bagaimanapun, tiada sebarang tambahan jaringan di separuh kedua biarpun kedua-dua pasukan memiliki peluang terbuka terutamanya percubaan penyerang Terengganu, Kipre Tchetche yang terkena palang dan juga tampanan leret Serhii didepan gawang yang terbuka berjaya dihalang pertahanan JDT.

Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus membawa JDT mara ke peringkat separuh akhir dengan aggregat 5-1. Mereka akan dijangka akan bertemu Perak atau Selangor di separuh akhir Piala Malaysia.

Artikel lain berkaitan perkembangan Piala Malaysia boleh baca di sini. 

Piala Malaysia 2019: PKNP FC Tekad Singkirkan Lang Merah

Piala Malaysia 2019: Tok Gajah Sebelah Kaki Ke Separuh Akhir