Baru-baru ini peminat bola sepak tempatan mempertikaikan keputusan pengadil membenarkan jaringan Khyril Muhymeen dikira ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di antara Selangor menentang Perak di Stadium Shah Alam.

Jaringan kedua bekas pemain Kedah itu dikatakan berada dalam kedudukan ‘offside’ selepas menerima hantaran daripada pemain import, Ifedayo Olusegun yang memastikan Selangor mendahului Perak dengan 2-0 di separuh masa pertama.

Mengulas mengenai isu tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ACP Md Dali Wahid mengakui terdapat kecuaian daripada pembantu pengadil yang tidak berada pada kedudukan yang tepat.

Bagaimanapun, ia tidak akan mengubah keputusan perlawanan itu dan pihaknya akan berbincang untuk menentukan bentuk hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pengadil terbabit.

“Secara jujurnya, video ulang tayang insiden berkenaan tidak membantu kami. Jadi kami tak boleh mengatakan ia ofsaid atau tidak walaupun berulang kali menelitinya.

“Tapi memang terdapat kecuaian oleh pembantu pengadil berkenaan dan sebarang tindakan atau hukuman terhadapnya akan kami bincangkan dan maklumkan kemudian,” jelas Md Dali dalam sidang media di Wisma FAM.

71176592_2412991718797578_1950988026624606208_n
Mesyuarat khas Jawatankuasa Pengadil FAM. FOTO: FAM

Selain itu, Dali turut mengesahkan keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan JDT menentang Terengganu FC di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin adalah tepat dan tiada sebarang masalah.

“Selepas beberapa kali kami memperhalusi rakaman video, memang pemain Terengganu FC menarik baju pemain JDT untuk sepakan penalti diberikan dan bagi satu lagi insiden, memang terdapat rempuhan dari belakang yang menyebabkan sepakan percuma diberikan kepada JDT.

“Jadi kedua-dua keputusan pengadil tersebut adalah betul,” kata Md Dali.

Lagi artikel menarik mengenai pengadil perlawanan Liga Malaysia. Baca melalui pautan dibawah.

2 Pengadil Elit AFC Dari Malaysia Terpilih Mengendalikan Perlawanan Liga Vietnam

FAM Sahkan Takuto Okabe Dipilih Sebagai Pengadil Perlawanan Akhir Piala FA 2019

Pengadil Kontroversi Final Piala Malaysia 2018 Digantung Tugas