Skuad Tambadau bakal memulakan aksi pertama dalam kejohanan jemputan Piala Gabenor Jawa Timur (Jatim), apabila dijadualkan menentang pasukan tuan rumah, Arema FC, malam ini.

Sabah merupakan satu-satunya wakil Malaysia dalam kejohanan tersebut selain 7 kelab dari Liga Indonesia iaitu Madura United, Persebaya Surabaya, Persik Kediri, Bhayangkara FC, Arema, Persela Lamongan dan Persija Jakarta.

Pengurus pasukan, Henry Soimpon menyifatkan kejohanan tersebut merupakan medan terbaik untuk menguji keserasian antara pemain sebelum saingan Liga Super musim 2020 membuka tirainya pada hujung bulan ini.

“Kami mengesan beberapa kelemahan ketika tewas 1-3 dalam aksi persahabatan dengan Persebaya Surabaya, Sabtu lalu, dan kami akan cuba atasinya dalam aksi-aksi seterusnya di Indonesia ini.

“Malam ini, kami akan bertemu dengan sebuah lagi pasukan yang digeruni dalam Liga Indonesia, namun kami sama sekali tidak gentar bertemu mereka. Malah, akan cuba memberi aksi terbaik untuk menyaingi mereka di hadapan ribuan penyokong mereka.

“Bagaimanapun, dalam kejohanan ini, kami juga perlu berhati-hati agar pasukan ini tidak dilanda masalah kecederaan sebelum saingan Liga Super bermula kelak,” katanya dipetik dalam Stadium Astro.

Logo Piala Gubernur Jatim. (Wikipedia).
Logo Piala Gubernur Jatim. (Wikipedia).

Henry berkata kesemua pemain juga bebas daripada sebarang kecederaan dan bersiap sedia untuk diturunkan malam ini.

“Saya yakin ketua jurulatih (Kurniawan Dwi Yulianto) mempunyai strategi untuk mengekang pasukan Arema FC esok, namun apa yang lebih penting bagi saya ialah setiap pemain yang diturunkan dapat mengadaptasi corak permainan baru yang diterapkan Kurniawan,” katanya.

Sementara itu, beliau juga berharap setiap pemain yang diberi peluang beraksi akan memberikan aksi terbaik.

“Ini adalah peluang untuk mereka membuktikan kemampuan. Kalau dilihat ketika aksi bertemu Persebaya Surabaya, sebaik beberapa pertukaran dilakukan, ada beberapa kesilapan dilakukan.

“Kami harus membentuk pasukan ini bukan hanya tumpu kepada kesebelasan utama, malah pemain-pemain gantian agar mereka lebih bersedia apabila diperlukan pada bila-bila masa,” katanya.

Piala Gabernor Jatim 2020

Kumpulan A:
Madura United (tuan rumah)
Persebaya Surabaya
Persik Kediri
Bhayangkara FC

Kumpulan B:
Arema (tuan rumah)
Persela Lamongan
Persija Jakarta
Sabah FA

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan Sabah melalui pautan dibawah.

Sabah Raih Kemenangan Pertama Dalam Jelajah Pra Musim Di Filipina

Sabah Berminat Dapatkan Khidmat Irfan Bachdim