Liverpool dan Manchester City sekali lagi bertemu dalam aksi klasik. Sebelum ini kedua dua pasukan beraksi dalam aksi sengit yang seri 2-2 dalam Liga Perdana Inggeris.

Pep Guardiola kehilangan beberapa tonggaknya. Kevin De Bruyne cedera ketika menentang Atletico. Seterusnya Ederson direhatkan untuk memberikan laluan kepada Zac Steffen.

Liverpool tidak menunggu lama untuk berada di hadapan. Pada minit ke-9, apabila Konate menanduk masuk hantaran silang Andy Robertson. Konate sebelum ini menjaringkan 2 gol dalam dua aksi timbal balik di UCL menentang Benfica, kini menambah koleksi gol dalam pertandingan piala.

City benar benar tidak menemui rentak mereka dalam 15 minit pertama. Lebih malang apabila penjaga gol mereka, Zac Steffen melakukan kesilapan tidak sepatutnya dan dihukum Sadio Mane pada minit ke-17.

Steffen cuba meniru aksi Ederson sebelum ini dengan mengawal bola atas garisan gol ketika bertemu Liverpool. Namun Steffen dihukum oleh Mane.

Ketika separuh masa pertama seolah olah berakhir dengan 2-0, Sadio Mane menambah satu lagi gol menerusi rembatan menjunam ke near post pada masa kecederaan separuh masa pertama. Zac Steffen jelas sekali tak berdaya untuk menyelamatkan bola.

Bersambung babak kedua, Manchester City tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pertama mereka. Pada minit ke-47, pemain termahal dalam sejarah kelab mereka, Jack Grealish yang tidak dikawal, menerima hantaran Gabriel Jesus.

Grealish dengan tenang melakukan rembatan deras menewaskan Alisson.

Liverpool kemudian mulai merasai tentangan sebenar daripada Man City. Di mana The Citizens mulai mendapat rentak mereka.

Gabriel Jesus seharusnya menjadikan kedudukan 2-3 kepada City ketika situasi 1 lawan 1. Namun bola rembatannya dihadang Alisson dengan kakinya.

Tidak lama selepas itu, Zinchenko bermain agak fancy dan hampir dihukum Mohamed Salah. Malang sekali pemain antarabangsa Mesir itu terus kemarau golnya walaupun sudah berjaya memintas bola.

Pada minit akhir perlawanan, Liverpool bermain dengan intensiti rendah.

Pada masa kecederaan, tiba tiba City kembali menghidupkan impian ke final dan juga impian treble mereka dengan gol Bernardo Silva untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Ianya bermula daripada Mahrez yang menggelecek di byline dan kemudian merembat melepasi celah kaki Alisson. Silva dengan mudah menolak bola ke gawang terbuka.

Dalam tempoh 2 minit berikutnya City mendapat 3 peluang keemasan. Pertamanya menerusi voli jarak dekat Fernandinho yang terbias pada kaki pertahanan lawan.

Daripada sepakan penjuru tersebut, Riyad Mahrez pula mendapat peluang dari dalam kotak penalti. Juga rembatannya terbias pada pertahanan lawan.

Raheem Sterling yang begelut sepanjang perlawanan mendapat peluang untuk menjadi wira penyelamat pasukannya. Namun rembatannya tepat ke arah Alisson.

Liverpool memberikan respon dengan 2 peluang daripada Mo Salah dan Roberto Firmino. Namun Zac Steffen cemerlang berkawal di gawangnya.

Tamat perlawanan. Liverpool 3 Manchester City 2. City menamatkan pemburuan treble mereka. Namun Liverpool kekal berada dalam pemburuan quadruple.

Liverpool menunggu pemenang di antara Crystal Palace dan Chelsea untuk aksi final Piala FA 2022.