Terengganu FC (TFC) mempamerkan disiplin tinggi meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua untuk mencatatkan kemenangan 1-0 keatas Kedah pada aksi pusingan kedua Piala FA 2022 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Kemenangan bermakna tersebut sekali gus berjaya membawa Terengganu ke peringkat suku akhir bagi menempah pertemuan menentang wakil tunggal daripada Liga Premier, Kuching City FC.

Keazaman tinggi Terengganu untuk mara ke pusingan seterusnya jelas kelihatan apabila anak buah Nafuzi Zain itu hampir membuka jaringan ketika permainan tidak sampai seminit dimulakan.

Berpunca daripada lorongan cantik Mohamad Faisal Abdul Halim untuk mencari Kpah Sherman yang melakukan larian deras ke dalam kawasan penalti lalu berjaya melepasi kawalan pertahanan Kedah.

Namun penjaga gol pasukan pelawat, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim tenang di gawangnya untuk menghalang percubaan dilakukan penyerang kelahiran Liberia tersebut menggunakan kakinya.

Kredit Foto: Kedah Darul Aman FC

Kehampaan itu ditebus berselang enam minit kemudian selepas hantaran lintang menarik Faisal ditanduk masuk Faiz Nasir dimana larian dari belakang dilakukannya tidak mampu dikesan pemain Kedah bagi membuka tirai jaringan.

Tidak cukup dengan jaringan itu, Terengganu meneruskan asakan dengan menjelmakan beberapa serangan ke arah pintu gol Kedah tetapi pertahanan lawan lebih kental bertahan untuk menghalang gawang mereka daripada dibolosi.

Tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 pemain sejak minit ke-50 selepas pemain pertahanan, Pape Abdoulaye Diakite dilayangkan kad merah ekoran kekasaran dilakukannya terhadap Ronald Ngah Wanja.

Keadaan itu membolehkan Kedah mendapat sepakan percuma, namun percubaan pemain import baharu dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi ditepis keluar penjaga gol Terengganu, Suhaimi Hussin.

Berdepan dengan lawan yang kekurangan pemain dilihat bukanlah satu kelebihan besar buat Kedah kerana Terengganu beraksi dengan cukup berdisiplin dalam mematahkan gerakan cuba dilancarkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu.

Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan bagi membolehkan misi Terengganu untuk cuba mengulangi pencapaian muncul juara Piala FA 2011 dapat diteruskan.