Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Sorakan padu penyokong Sabah nyata tidak langsung dihiraukan para pemain Selangor selepas mereka berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 pada aksi suku akhir Piala FA 2022 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Kemenangan bermakna itu juga menyaksikan Selangor mara ke separuh akhir bagi menanti pemenang antara Terengganu dan Kuching City FC yang sedang beraksi di Kuala Terengganu.

Skuad kendalian Micheal Feichtenbeiner itu tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas Hyuri Henrique de Oliveira Costa menemui sentuhan jaringan seawal minit pertama.

Berpunca daripada umpanan Brendan Gan di tengah padang, pemain import dari Brazil itu pantas melepasi kawalan Dominic Tan dan kemudiannya melakukan percubaan yang menewaskan penjaga gol, Damien Lim.

Kredit Foto: Selangor FC

Tersentak dengan jaringan tersebut, Sabah tampil dengan lebih tersusun dengan memperoleh beberapa peluang terbaik untuk kembali menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, percubaan ‘placing’ daripada Stuart Wilkins ditangkap Sam Somerville manakala dua percubaan menerusi Baddrol Bakhtiar dan Amri Yahyah sekadar melewati palang gol.

Aksi selepas itu memperlihatkan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan terutamanya pada babak kedua walaupun hujan lebat mula turun membasahi bumi Kota Kinabalu.

Selangor bagaimanapun mampu untuk meledakkan lebih banyak jaringan tetapi kualiti penyudah yang kurang baik menggagalkan peluang-peluang terbaik dimiliki mereka.

Herlison Caion de Souza Fereira akhirnya mematikan api perjuangan tuan rumah ketika permainan memasuki minit ke-81 apabila beliau yang hanya berhadapan dengan Damien tenang melakukan tolakan mudah untuk mengesahkan kemenangan 2-0 buat Selangor.

Sebagai rekod, Selangor merupakan juara lima kali dimana kali terakhir mereka menjulang Piala FA pada musim 2009 selepas berjaya menundukkan Kelantan menerusi penentuan sepakan penalti.

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group