Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) FC tidak akan mengaku kalah sebelum berjuang walaupun menghormati reputasi juara Piala FA 2019, Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila kedua-dua pasukan berentap di Stadium Darul Aman, pada Sabtu bagi aksi pusingan pertama Piala FA.

Jelas pemain tengah berpengalaman, Shahurain Abu Samah, SAINS mahu gunakan sebaik mungkin pentas Piala FA ini membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing dengan pasukan elit seperti Kedah.

“Di atas kertas, kita tahu bagaimana kekuatan lawan yang dibarisi ramai pemain bintang selain tonggak-tonggak import tetapi kami akan cuba sedaya upaya berikan saingan.

“Saya tidak mahu rakan-rakan bersikap terlalu menghormati lawan bila beraksi di atas padang kerana situasi itu boleh menyukarkan lagi keadaan.

“Harus diingat, dalam bola sepak apa-apa boleh terjadi, jadi saya harap kami boleh berikan sehabis baik serta mampu meraih keputusan terpuji buat pasukan untuk dibawa balik ke Seremban,” katanya kepada MFL.

Shahurain merupakan bekas pemain Negeri Sembilan pada tahun 2006 hingga 2013 yang pernah membantu skuad Hobin Jang Hobin menjuarai Piala FA pada musim 2010 selain Piala Malaysia pada 2009 dan 2011.

Dia pernah beraksi bersama PKNS FC, Felda United FC dan PDRM FC sepanjang kariernya sebelum ke SAINS sejak musim lalu.

Selain Shahurain, SAINS yang dikendalikan oleh Leong Hong Seng itu diperkuatkan ramai bekas pemain yang pernah beraksi di pentas Liga Malaysia pada beberapa musim terdahulu.

Antaranya Yosri Derma Raju, Tengku Qayyum Ubaidillah, S. Sivanesan, Jibrail Kamaron Baharin dan A. Segar.

Pengalaman yang dimiliki pemain-pemain ini menurut Shahurain diharapkan serba sedikit dapat membantu SAINS untuk menyaingi Kedah.

“Mungkin sebahagian besar daripada kami sudah tidak bermain di tahap tertinggi seperti Liga Super atau Liga Premier tetapi aspek pengalaman boleh membantu pasukan.

“Ramai pemain dalam pasukan ini seperti Yosri, Qayyum dan Sivanesan selain pemain-pemain lain boleh memastikan kami tidak terlalu gugup apabila bertandang ke Darul Aman.

“Malah keserasian kami bertambah baik selepas melalui tiga perlawanan di Liga M3, harap perkara itu boleh memberikan kami keyakinan,” katanya.

Perlawanan pusingan pertama lain yang turut berlangsung pada Sabtu ialah membabitkan Sabah dan Respect FC di Stadium Likas selain Melaka United FC yang bakal menerima kunjungan PIB FC di Stadium Hang Jebat.

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group