Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel tetap akan menurunkan barisan terbaik walaupun berdepan pasukan dari Liga M3, Manjung City FC pada pusingan pertama Piala FA 2022, Rabu ini.

Jelas pengendali dari Perancis berkenaan, ini peluang terbaik melihat sejauh mana kemampuan pemain selepas Sri Pahang FC tidak dapat turun beraksi sejak sepak mula Liga Malaysia, 4 Mac lalu gara-gara terdapat kes penularan COVID-19 di dalam pasukan.

Malah, Gamel mengakui pemain-pemainnya kini sudah tidak sabar turun ke padang setelah sekian lama mengadakan persiapan pra musim serta mahu menunjukkan kemampuan Sri Pahang pada musim ini.

“Sri Pahang akan turunkan skuad yang terbaik kerana pemain perlukan perlawanan kompetitif sebagai usaha mendapatkan minit permainan serta mencipta keserasian dalam kalangan mereka.

“Ekoran masalah COVID-19, kami berdepan kekangan untuk melihat sejauh mana tahap kecergasan pemain apabila tiga perlawanan terdahulu ditangguhkan.

“Namun, semangat pemain tidak pernah pudar walaupun berehat begitu lama dan semangat mereka semakin membuak menjelang aksi Piala FA,” katanya kepada MFL.

Sri Pahang yang mempertaruhkan ramai muka baharu seperti Mamadou Samassa, Billy Ketkeophomphone, David Rowley, Azwan Aripin dan Faizal Arif dilihat punyai skuad yang lebih ampuh berbanding musim lalu.

Malah kelibat pertahanan import, Johan Martial yang merupakan abang kepada penyerang Manchester United, Anthony Martial, juga menjadi tarikan utama kepada Sri Pahang, musim ini.

Sementara itu, Gamel menjelaskan beliau masih belum dapat kombinasi yang terbaik di dalam skuad Sri Pahang namun yakin masalah berkenaan mampu diatasi.

“Ada kalanya kombinasi pemain yang saya gunakan mampu mencapai seperti yang diinginkan tetapi tidak konsisten ekoran pelbagai masalah yang melanda seperti COVID-19, kecederaan selain masalah cuaca.

“Namun saya lihat pasukan lain juga berdepan masalah sama dalam mencari kombinasi terbaik dan perkara ini sidah tentu mengambil masa.

“Apa yang penting ialah pemain berada di tahap terbaik dari segi moral serta fokus dalam latihan, saya yakin berdasarkan masa yang kami ada, kombinasi yang diinginkan mampu tercapai,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

TMJ Beri Bantuan Kepada Perak FC Untuk Selesaikan Tunggakan Gaji Pemain

Haikal Sahar Berazam Ledak Lebih Banyak Gol Dalam Liga Malaysia

Enggan Ambil Vaksin Punca Daniel Ting Tinggalkan KL City

Terengganu Bantah Waktu Sepak Mula 8.15 Malam, Mahu MFL Tukar Kepada 9.00 Malam

Hanya Penyokong Lengkap Suntikan Dos Penggalak Sahaja Dibenarkan Masuk Ke Stadium