Penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim muncul wira apabila membantu Terengganu FC melangkah ke perlawanan akhir Piala FA 2022 selepas menewaskan Selangor 4-2 melalui penentuan sepakan penalti. Beliau menafikan dua sepakan penalti yang diambil oleh Aliff Haiqal Lau dan Yazan Al Arab sekaligus memastikan kemenangan berpihak kepada Terengganu.

Dalam perlawanan ini, Selangor bermula dengan garang dan bermain tanpa tekanan walaupun berdepan sorakan padu daripada puluhan ribu penyokong Terengganu yang memenuhi setiap penjuru stadium.

Bagaimanapun, Terengganu terlebih dahulu menguji benteng pertahanan pelawat apabila memperolehi peluang terbaik untuk menjaringkan gol pembukaan pada minit ke 17 namun rembatan Kipre Tchetche tersasar selepas menerima hantaran cantik daripada Faisal Halim.

7 minit kemudian, Selangor melakukan serangan balas dan berjaya menghukum kelekaan benteng Terengganu untuk gol pertama mereka hasil tolakan Norhakim Hassan hasil hantaran leret Quentin Cheng.

Terengganu juga hampir menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 42 tetapi palang menjadi penghalang kepada rembatan kencang Kipre Tchetche walaupun penjaga gol Selangor sudah tertewas.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, rentak permainan Terengganu berubah dan kali ini benteng pertahanan Selangor terpaksa berkerja keras untuk mengekang beberapa gerakan berbahaya yang dilakukan oleh gandingan dua sayap, Faisal Halim dan Faiz Nasir.

Usaha Terengganu akhirnya membuahkan hasil apabila Faisal Halim menyamakan kedudukan pada minit ke 48 selepas mengelecek beberapa pemain pertahanan Selangor lalu menyudahkan rembatan lambung yang cantik.

Jaringan tersebut turut membangkitkan semangat pemain Terengganu untuk terus mengandakan asakan. Selangor juga turut memperolehi beberapa peluang terhidang namun dikecewakan dengan penyudah yang tumpul ditambah pula dengan kecemerlangan benteng Terengganu mengekang asakan lawan.

Malah, Faisal Halim nyaris menjaringkan gol kedua pada minit ke 81 tetapi malangnya rembatannya tersasar. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan dan terpaksa diheretkan ke masa tambahan.

Sepanjang masa tambahan, kedua-dua pasukan bermain dengan lebih berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kesilapan yang memusnahkan misi mereka buru tiket ke perlawanan akhir.

Penyerang import dari Brazil, Caion hampir meletak Selangor di depan namun rembatannya ditepis oleh penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim. Caion juga gagal menyudahkan beberapa peluang terbaik melalui hantaran tepat yang dilakukan oleh dua pemain sayap, Hein Htet Aun dan Aliff Haiqal Lau.

Perlawanan akhirnya diheretkan ke penentuan sepakan penalti selepas keputusan berakhir dengan 1-1. Pemain Terengganu menyempurnakan semua sepakan penalti kecuali Manuel Ott manakala Selangor gagal menyudahkan dua sepakan penalti sekaligus meranapkan impian mereka ke final.

Terengganu akan bertemu juara bertahan Liga Super, JDT di perlawanan akhir Piala FA 2022 dimana pemenangnya akan mendapat tiket beraksi di Piala AFC musim depan. Jika JDT muncul sebagai juara, slot Piala AFC akan diberikan kepada pasukan di tempat kedua Liga Super 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Piala FA 2022: JDT Mara Ke Final Selepas ‘Tibai’ Penang 6-1

Piala FA: 10 Buah Bas Penyokong Penang Menuju Ke Selatan Untuk Beri Sokongan Padu

Tiket ‘Online’ Separuh Akhir Piala FA Terengganu Menentang Selangor Habis Dijual

Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Tarik Perhatian Media Antarabangsa

Liga Super 2022: Amri Yahyah Wira Kebangkitan Sabah Atasi Melaka