Penang mempamerkan kebangkitan hebat untuk melangkah ke separuh akhir selepas berjaya menewaskan Sri Pahang 5-2 pada aksi suku akhir Piala FA Malaysia 2022 yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi.

Dengan kemenangan bermakna itu, Penang akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir nanti.

Sri Pahang yang kini kembali mendapat bimbingan Dollah Salleh membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi tandukan dilakukan pemain import, Andres Steven Rodriguez Ossa.

Berpunca daripada sepakan percuma Manuel Hidalgo yang ditepis Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy memberikan peluang Muhamad Baqiuddin  Shamsudin melakukan hantaran kepada Rodriguez bagi menanduk masuk bola untuk menggembirakan kem Sri Pahang.

Pemain tengah, Muhamad Nor Azam Azih hampir menambah kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-17 apabila percubaan dari jauhnya terus menuju ke arah pintu gol Penang tetapi Hafizul lebih bersedia untuk menyelamatkan gawangnya.

Kehampaan itu ditebus berselang dua minit kemudian selepas ledakan kaki kiri dari jarak jauh dilakukan Mohamad Azwan Aripin tidak mampu dihalang Hafizul bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan babak pertama, T. Saravanan merapatkan defisit jaringan setelah sepakan percuma Muhammad Adib Abdul Ra’op gagal dikeluarkan oleh Mamadou Samassa bagi memberikan ruang buat pemain berusia 21 tahun itu untuk mudah menghasilkan jaringan.

Ketika kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mengubah kedudukan, Penang menyempurnakan peluang terhidang pada minit ke-85 apabila Hilal Alhelwe Bassam menanduk masuk bola ketika situasi sepakan percuma untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Tuan rumah yang beraksi dengan 10 pemain selepas Muhammad Ashar Al Aafiz Abdullah dilayangkan kad merah pada masa kecederaan babak kedua jelas membuatkan Sri Pahang sedikit tempang.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya anak buah Zainal Abidin Hassan tersebut untuk menambah tiga jaringan menerusi Lucas Silva (minit ke-96), Hilal Alhelwe berselang dua minit kemudian serta K. Thivandaran pada minit ke-118.

Bergson muncul wira JDT. Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Sementara itu di Stadium Hang Jebat, Bergson da Silva muncul wira JDT apabila jaringannya menerusi tandukan pada masa kecederaan membawa gergasi bola sepak tanah air itu ke separuh akhir.

JDT hanya memerlukan empat minit untuk membuka tirai jaringan selepas Ahmad Hazwan Bakri yang tidak dikawal pertahanan Melaka United menanduk masuk bola hasil hantaran dilakukan Leandro Velasquez.

Aksi selepas itu memperlihatkan penguasaan JDT tetapi kualiti penyudah kurang berkesan menggagalkan usaha mereka untuk terus menambah jaringan.

Sebaliknya, Melaka United kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-84 selepas mereka dihadiahkan sepakan penalti ekoran kekasaran dilakukan Leandro terhadap Sony. Sony yang mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk menewaskan Farizal Marlias.

Bergson bagaimanapun membuktikan kemampuannya dengan tandukan pada saat akhir perlawanan untuk menghidupkan peluang JDT bagi mengulangi pencapaian muncul juara Piala FA 2016.

Manakala pada satu lagi aksi suku akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu berjaya mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Kuching City FC hasil jaringan Faiz Nasir, dua gol daripada Tchetche Kipre dan Faisal Halim. Skuad kendalian Nafuzi Zain itu akan bertemu Selangor pada aksi separuh akhir.