Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak, tidak mahu rekod lalu dijadikan perbandingan menjelang pertemuan Lembah Klang ‘derby’ dengan Selangor FC pada pusingan kedua Piala FA 2022 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok.

Ujar Hodak, walaupun KL City belum pernah tewas dalam lima pertemuan terakhir sejak beliau mengendalikan pasukan dari musim lalu, itu bukan bermakna mereka wajar diangkat sebagai pilihan.

Tambahnya, aksi kedua-dua pasukan sering kali berlangsung sengit dan peluang tampak seimbang buat Selangor atau KL City bagi memenangi perlawanan.

“Sudah lima kali kami bertemu dari musim lalu dengan KL City menang dua daripadanya dan seri tiga kali.”

“Walaupun pasukan saya belum pernah tewas kepada Selangor tetapi semua perlawanan berlangsung dengan sengit dan sesiapa sahaja boleh menang.”

“Ditambah sentimen Lembah Klang ‘derby’, sudah pasti kedua-dua pasukan mahukan kemenangan bagi saingan Piala FA kerana kejohanan ini sangat berbeza dengan liga.”

“Namun saya boleh katakan tekanan buat masa ini memihak kepada Selangor kerana dengan bajet yang lebih besar dan penyokong lebih ramai, sudah tentu mereka amat mengharapkan kemenangan,” katanya.

Kredit Foto: Kuala Lumpur City

KL City menang dua kali semasa di saingan suku akhir TM Piala Malaysia 2021 selain tiga kali dalam tiga perlawanan Liga Super dari 2021 hingga 2022.

Kali terakhir pertemuan kedua-dua pasukan menyaksikan mereka terikat 3-3 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 4 Mac lalu.

Sementara itu, Hodak mengesahkan KL City berpeluang menurunkan penyerang import baharunya yang dipinjam dari Terengganu FC, Jordan Mintah.

Justeru, beliau mengharapkan Mintah mampu menambah sengat di jentera serangan bagi membantu Romel Morales selain dibantu Paulo Josue dan Zhafri Yahya.

“Saya boleh turunkan Jordan Mintah dalam perlawanan ini cuma dia masih perlukan masa untuk dapatkan persefahaman dengan pemain lain.”

“Dia bakal mengambil tempat Kevin Koubemba dan diharapkan kehadirannya boleh membantu dalam aspek variasi serangan pasukan.”

“Semua pemain berada di tahap terbaik kecuali pemain sayap, J.Partiban yang mungkin terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan, ” tambah Bojan Hodak lagi.