Real Madrid menepati ramalan melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia Kelab 2022 selepas menundukkan wakil juara Afrika, Al Ahly 4-1 pada aksi yang berlangsung di Stade Prince Moulay Abdallah, Maghribi sebentar tadi.

Menanti skuad Los Blancos itu di final ialah kelab kebanggaan Asia, Al Hilal yang terlebih dahulu mengesahkan kemaraan hasil kemenangan 3-2 ke atas Flamengo.

Berdepan lawan yang merupakan gergasi bola sepak dunia bagaimanapun tidak langsung dihiraukan oleh skuad kendalian Marcel Koller itu apabila mereka turut mempamerkan permainan bertenaga.

Malah, juara empat kali kejohanan itu juga terpaksa menunggu hingga minit ke-42 untuk membuka tirai jaringan hasil sumbangan Vinicius Junior.

Gol itu berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan, Mahmoud Betwali yang gagal membaca hantaran rakan sepasukan dalam kawasan sendiri sehingga membolehkan pemain skuad kebangsaan Brazil tersebut tenang menyempurnakan peluang terhidang.

Memasuki babak kedua, Real Madrid hanya memerlukan seminit selepas aksi bersambung untuk menambah gol kedua menerusi pemain tengah, Federico Valverde.

Bermula daripada percubaan awal Rodrygo Goes yang diselamatkan penjaga gol, Mohamed El Shenawi, Valverde yang tidak dikawal pertahanan lawan tidak berdepan masalan untuk menolak masuk bola bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Gol tersebut meningkatkan lagi keyakinan barisan pemain Real Madrid untuk lebih menguasai permainan tetapi hanya sedikit kealpaan berjaya dihukum Al Ahly.

Ia berikutan kekasaran dilakukan Eduardo Camavinga terhadap Hussein El Shahat dalam kawasan penalti memaksa pengadil perlawanan dari Uruguay, Andres Matonte menghadiahkan sepakan penalti buat Al Ahly.

Peluang yang dimiliki pada minit ke-65 itu nyata tidak disia-siakan oleh Ali Maaloul bagi mengurangkan defisit jaringan sekali gus membuka kembali peluang buat Al Ahly untuk bangkit.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Carlo Ancelotti cuba untuk menambah jaringan tetapi usaha mereka dikecewakan sepakan penalti Luka Modric pada minit ke-87 yang dinafikan Shenawi.

Kehampaan Modric itu ditebus oleh Rodrygo dan pemain muda, Sergio Arribas pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan denga kelebihan tiga gol buat Real Madrid.