Malaysia mempamerkan aksi terpuji meskipun tunduk 0-4 bertemu Belanda pada aksi sulung Piala Dunia Hoki 2023 yang berlangsung di Stadium Hoki Antarabangsa Mirsa Munda, Rourkela, India sebentar tadi.

Penguasaan penuh dipamerkan Belanda berbekalkan kepantasan dan kualiti hebat dimiliki para pemain skuad yang kini menghuni tangga ketiga ranking dunia itu.

Keadaan itu menyaksikan barisan pemain pertahanan yang diketuai Razie Rahim serta penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman terpaksa bekerja keras untuk menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Belanda mendapat peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi Tijmen Reyenga tetapi ledakan dilakukan dalam kawasan penalti susulan serangan balas pantas berjaya dinafikan Hafizuddin.

Penjaga gol berusia 31 tahun itu terus cemerlang apabila mengagalkan percubaan menerusi pukulan sudut penalti dilakukan oleh Jip Janssen pada minit ke-12 dan kemudiannya dikeluarkan oleh pemain pertahanan.

Kemudiannya, beliau menyelamatkan pula pukulan kilas daripada Koen Bijen ketika permainan memasuki minit ke-20, juga menerusi satu gerakan pantas ke dalam kawasan D skuad negara.

Kecemerlangan Hafizuddin terhenti berselang seminit kemudian apabila Thijs Van Dam mengambil kesempatan di atas kecuaian Najmi Farizal Jazlan yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya untuk menolak masuk gol pembukaan.

Belanda menambah gol kedua pada minit ke-25 selepas Janssen menyempurnakan penalti strok yang diperolehi berikutan kekasaran Muhammad Amirul Hamizan Azhar terhadap Jonas de Geus.

Tersentak dengan dua jaringan tersebut, anak buah Arul Anthoni Selvaraj memperkemaskan aksi untuk menghadirkan ancaman ke arah pintu gol Belanda.

Peluang yang diidamkan skuad negara hadir pada minit ke-27 tetapi pukulan sudut penalti rendah daripada Faizal Saari dihalang penjaga gol, Pirmin Blaak.

Ketika skuad negara cuba untuk bangkit mendapatkan jaringan pada suku keempat, Belanda mengambil kesempatan susulan pukulan sudut penalti diterima apabila Teun Beijns menolak masuk untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-47.

Kealpaan pertahanan Malaysia pada lewat permainan dihukum Belanda apabila Jorrit Croon mudah melakukan pukulan yang membolosi gawang skuad negara.

Kedudukan 4-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk memastikan tiga mata penuh buat Belanda bagi berkongsi mata dengan New Zealand yang turut mencatatkan kemenangan ke atas Chile tetapi juara tiga kali itu memiliki kelebihan perbezaan jaringan.

Lawan kedua yang akan dihadapi skuad negara pada Isnin nanti ialah wakil Amerika Selatan, Chile pada 3.30 petang.