Malaysia terpaksa bermain dalam perlawanan kualifikasi ke-13/16 Piala Dunia Hoki 2023 apabila tewas 3-6 pada aksi bertemu Afrika Selatan di Stadium Hoki Antarabangsa Mirsa Munda, Rourkela, India sebentar tadi.

Segalanya tampak tidak begitu menjadi buat skuad kendalian Arul Selvaraj apabila mempamerkan aksi longgar sebaik sahaja permainan dimulakan terutamanya di bahagian tengah dan pertahanan.

Kelemahan ditampilkan Malaysia itu diambil sepenuhnya oleh Afrika Selatan untuk mendominasi permainan sekali gus berjaya membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi Bradley Sherwood.

Jaringan itu terhasil berpunca daripada gerakan solo dilakukan Ntuli Nqobile ke dalam kawasan D dan kemudiannya membolehkan Sherwood menolak masuk dengan mudah bagi memberikan kelebihan buat wakil Afrika itu.

Connor Beauchamp hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-13 tetapi percubaannya menerusi pukulan sudut penalti sekadar singgah di palang gol skuad negara.

Kedudukan kemudiannya berubah berselang empat minit kemudian selepas pukulan susulan Guy Morgan ketika situasi pukulan sudut penalti berjaya menewaskan Hafizuddin Othman.

Memasuki minit ke-26, Afrika Selatan terus mengukuhkan kedudukan hasil jaringan padang Nqobile untuk menjadikan kedudukan 3-0 sebelum rehat separuh masa pertama.

Razie Rahim mengurangkan defisit pada minit ke-35 menerusi pukulan sudut penalti tetapi Keenan Horne serta Mustaphaa Cassiem tidak berdepan masalah untuk menjaringkan gol pantas pada minit ke-43 (gol padang) dan 44 (penalti strok). Seminit kemudian, giliranĀ  Razie pula menyempurnakan penalti strok.

Sherwood menambah jaringan kedua peribadinya pada minit ke-57 dan tidak sampai seminit, gerakan solo Firhan Ashari membuahkan hasil untuk gol ketiga skuad negara.

Pada penentuan tempat ke-13/16, skuad negara akan menentang pasukan yang tewas pada pertemuan Jepun dan India malam ini.