Undian Piala Dunia Futsal 2021 yang berlangsung malam tadi menyaksikan juara bertahan, Argentina bakal menghadapi cabaran gergasi Asia, Iran selepas kedua-dua pasukan diundi dalam satu kumpulan.

Di samping dua negara tersebut, kumpulan F turut dibarisi Amerika Syarikat dan wakil Eropah yang pertama kali bakal membuat penampilan dalam saingan Piala Dunia, Serbia.

Selain Iran, terdapat empat lagi pasukan dari benua Asia yang turut akan bersaing dalam saingan edisi kesembilan di Lithuania bermula 12 September nanti iaitu Uzbekistan, Jepun, Thailand dan Vietnam.

Pengalaman berharga pasti bakal diterima keempat-empat pasukan tersebut apabila Uzbekistan telah diundi bersama naib juara edisi 2016, Rusia.

Sementara itu, Thailand akan berhadapan dengan Portugal, Jepun pula menanti cabaran pasukan nombor satu dunia, Sepanyol  dan Vietnam ‘berjodoh’ dengan juara dunia lima kali, Brazil.

Sebagai rekod, Iran merupakan pasukan yang paling berjaya dalam kalangan negara Asia di pentas tertinggi futsal dunia itu apabila dua kali berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Iran menamatkan saingan di tempat keempat pada saingan Piala Dunia 1992 di Hong Kong manakala meraih kedudukan ketiga sewaktu saingan 2016 di Colombia.

Argentina merupakan juara bertahan selepas berjaya menundukkan Rusia 5-4 pada perlawanan akhir saingan di Colombia hasil jaringan Alamiro Vaporaki, Leandro Cuzzolino, Alan Brandi (2 gol) dan Constantino Vaporaki.

Berikut adalah senarai lengkap keputusan undian Piala Dunia Futsal 2021:

Kumpulan A: Lithuania, Venezuela, Kazakhstan & Costa Rica
Kumpulan B: Uzbekistan, Guatemala, Russia & Mesir
Kumpulan C: Thailand, Portugal, Morocco & Solomon Islands
Kumpulan D: Panama, Czech Republic, Vietnam & Brazil
Kumpulan E: Angola, Japan, Paraguay & Spain
Kumpulan F: Argentina, Amerika Syarikat, Serbia & Iran