Kejayaan menundukkan Kazakhstan menerusi penentuan sepakan penalti menyaksikan Portugal telah mencipta sejarah baharu apabila berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Dunia Futsal 2021.

Kemenangan bermakna diraih skuad kendalian Jorge Braz dalam situasi genting itu menyaksikan mereka akan berhadapan juara bertahan, Argentina pada aksi final yang dijadulkan berlangsung Ahad ini di Zalgiris Arena, Lithuania.

Argentina terlebih awal mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir selepas menundukkan musuh tradisi, Brazil pada aksi separuh akhir, awal pagi semalam.

Seperti dijangkakan, Portugal langsung tidak diberikan laluan mudah dimana Kazakhstan turut memperagakan semangat juang tinggi untuk mengheret perlawanan hingga ke sepakan penalti.

Ketika aksi terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Portugal akhirnya membuka tirai jaringan menerusi rembatan Pany yang tidak dikawal di hadapan pintu gol Kazakhstan pada minit ke-23.

Jaringan tersebut nyata meningkatkan lagi intensiti permainan dengan Kazakhstan pula tampil dengan begitu berbahaya dalam usaha untuk mendapatkan jaringan penyamaan.

Gol yang begitu dinantikan anak buah Paulo Figueroa itu hadir ketika perlawanan hanya berbaki beberapa saat untuk ditamatkan apabila berpunca daripada permainan ‘powerplay’ telah memberikan ruang buat Dauren Nurgozhin untuk membolosi gawang Portugal.

Kazakhstan yang turut mengintai aksi final pertama dalam sejarah negara tersebut berjaya mendapatkan jaringan pendahuluan pada masa kecederaan menerusi sepakan percuma pemain naturalisasi, Douglas Junior da Silva.

Skrip yang sama berulang kembali dan kali ini giliran Portugal pula mendapatkan jaringan pada lewat permainan apabila Bruno Coelho menjadikan kedudukan 2-2 untuk pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Ketika kedudukan 3-3 selepas Pany dan Douglas gagal menyempurnakan sepakan masing-masing, penjaga gol kedua Portugal, Vitor Hugo muncul wira selepas beliau menafikan sepakan Arnold Knaub dan seterusnya Tiago Brito menyempurnakan sepakan terakhir bagi membawa Portugal ke perlawanan akhir.

Walau apa juga keputusan dicatatkan pada perlawanan akhir nanti, ia akan menjadi pencapaian hebat buat Portugal apabila kedudukan ketiga edisi 2000 di Guatemala merupakan yang terbaik buat mereka sepanjang penglibatan dalam Piala Dunia Futsal.

Teruskan membaca artikel lain mengenai Futsal seperti dibawah.

Piala Dunia Futsal: Argentina Hampakan Brazil Untuk Ke Pentas Final

Piala Dunia Futsal: Kebangkitan Hebat Bawa Portugal, Kazakhstan Ke Separuh Akhir

Piala Dunia Futsal: Argentina Bakal Hadapi Brazil Di Separuh Akhir