Kempen Piala Dunia Futsal 2021 bakal memasuki persaingan kalah mati pada malam ini apabila 16 pasukan sedang mengintai peluang untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Seperti diketahui, buat pertama kalinya kesemua lima wakil dari benua Asia berjaya meloloskan diri ke pusingan 16 dengan Iran dan Uzbekistan layak secara automatik sebagai naib juara kumpulan.

Manakala, Thailand bersama-sama Vietnam dan Jepun pula berada dalam kalangan empat pasukan terbaik di kedudukan ketiga peringkat kumpulan.

Dengan kemaraan lima negara tersebut, salah satunya hampir pasti akan mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas Iran yang berada di tangga kelima ranking futsal dunia akan membuat perhitungan menentang Uzbekistan

Pemenang perlawanan di Vilnius itu akan menanti antara satu lagi wakil Asia, Thailand atau gergasi futsal Eropah, Kazakhstan yang diperkuatkan dengan kehadiran antara penjaga gol terbaik dunia, Leo Higuita.

Sementara itu, laluan cukup sukar akan dihadapi dua lagi pasukan apabila Vietnam dijadualkan bertemu naib juara edisi 2016, Rusia [menggunakan gelaran RFU] dan Jepun pula perlu menghadapi cabaran hebat juara lima kali, Brazil.

Sebagai rekod melibatkan kesemua lima pasukan Asia ini, Iran sudah pasti berada di kelas tersendiri apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir bagi edisi 1992 di Hong Kong dan 2016 [Colombia].

Edisi 2016 nyata menjadi detik paling manis buat Iran apabila berjaya menundukkan Brazil pada pusingan 16 dan akhirnya menamatkan saingan di kedudukan ketiga susulan kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti menentang Portugal.

Mampukah Iran mengulangi pencapaian lima tahun lalu atau empat lagi pasukan dari Asia bakal mencipta kejutan terbesar pada saingan kali ini? Menarik untuk disaksikan.

Teruskan membaca artikel lain mengenai Futsal seperti dibawah.

Piala Dunia Futsal: Tundukkan Mesir, Uzbekistan Isi Slot Pusingan 16

Piala Dunia Futsal: Vietnam, Thailand Ulangi Pencapaian 2016, Mara Ke Pusingan 16

Piala Dunia Futsal: Vietnam, Thailand Hidupkan Peluang Ke Pusingan 16