Iran berjaya mengesahkan tempat ke pusingan 16 saingan Piala Dunia 2021 selepas kejayaan menundukkan Amerika Syarikat 4-2 pada aksi yang berlangsung di Vilnius Arena, Lithuania malam tadi.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan skuad bimbingan Seyed Nazemalsharieh itu selepas mereka menang 3-2 ke atas Serbia pada perlawanan sulung tempoh hari.

Iran bagaimanapun tersentak seawal minit kedua apabila penjaga gol utama, Alireza Samimi diperintahkan keluar padang susulan kesilapannya menangkap bola di luar kawasan D.

Kesempatan itu nyata digunakan sepenuhnya Amerika Syarikat untuk memperoleh jaringan pembukaan menerusi rembatan tonjol Luciano Gonzalez yang membolosi gawang Iran pada minit ketiga perlawanan.

Kegembiraan anak buah Dusan Jakica itu hanya bersifat sementara apabila Farhad Tavakoli kembali menyamakan kedudukan tidak sampai seminit selepas gol Gonzalez terhasil.

Saeid Ahmad Abbasi berhadapan dengan penjaga gol AMerika Syarikat, Diego Moretti dalam usahanya untuk menjaringkan gol. Kredit foto: FIFA Futsal World Cup

Berpunca daripada kesilapan hantaran penjaga gol, Diego Moretti yang mencari Guilherme Veiga membolehkan Farhad Fakhim melorongkan bola kepada Tavakoli untuk menolak mudah bola tersebut.

Mendapat tonik berguna susulan jaringan tersebut, Iran menambah jaringan kedua berselang empat minit kemudian selepas larian solo Moslem Oladghobad membolehkan Mahdi Javid dengan tenang menyempurnakan peluang terhidang.

Tidak cukup dengan dua jaringan itu, Ahmad Esmaeilpour menjadikan kedudukan 3-1 apabila rembatan rendah dilakukannya setelah menerima umpanan cantik daripada Saeid Ahmad Abbasi berjaya menewaskan Moretti pada minit ke-10.

Aksi Iran sedikit goyah pada separuh masa kedua dan akhirnya memberikan ruang buat Gonzalez untuk merapatkan defisit jaringan pada minit ke-36.

Tidak mahu Amerika Syarikat memusnahkan impian untuk mencapai kemenangan, Iran akhirnya mematikan sisa perjuangan lawan tersebut ketika perlawanan memasuki minit ke-39 menerusi Ahmad Abbasi bagi memastikan kemenangan kedua berturut-turut milik pemenang tempat ketiga Piala Dunia Futsal edisi 2016 itu.

Dalam satu lagi perlawanan, Jepun gagal mengekalkan kelebihan 2-1 yang dimiliki ketika tamat babak pertama apabila mereka tumpas 2-4 di tangan gergasi dunia, Sepanyol dalam aksi kumpulan E.

Teruskan membaca artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

Javier Saviola Kongsikan Pengalaman Terkini Bergelar Pemain Futsal Di Andorra

Piala Dunia Futsal: Vietnam, Thailand Hidupkan Peluang Ke Pusingan 16

Piala Dunia Futsal: Iran, Jepun Mulakan Kempen Dengan Bergaya