Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) semalam mengumumkan kejohanan Piala Dunia bawah 20 tahun (B-20) di Indonesia yang sepatutnya diadakan pada tahun depan sah dibatalkan disebabkan oleh penularan wabak pandemik COVID-19.

Bukan sahaja Piala Dunia B-20 tetapi juga Piala Dunia B-17 di Peru turut dibatalkan. Namun begitu, Indonesia dan Peru tetap dikekalkan sebagai tuan rumah untuk edisi seterusnya iaitu pada tahun 2023.

“Akibat peningkatan kes COVID-19, Jawatankuasa FIFA memutuskan untuk membatalkan kejohanan Piala Dunia FIFA B-20 dan Piala Dunia FIFA B-17 edisi 2021.

“Indonesia dan Peru yang menjadi tuan rumah pada edisi 2021 tetap dikekalkan sebagai tuan rumah untuk edisi 2023.

“FIFA ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota tuan rumah, dan juga pihak berwajib di Indonesia dan Peru, atas komitmen dan persiapan kejohanan yang telah dilakukan selama ini,” kata kenyataan rasmi daripada badan induk bola sepak dunia itu.

Pembatalan pertandingan itu juga akan memberi kesan pada Kejohanan AFC B-19 yang akan berlangsung di Uzbekistan pada bulan Mac 2021.

Ia bermakna pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir tidak akan mendapat apa-apa slot ke Piala Dunia B-20 dan kemungkinan juga kejohanan itu terpaksa dibatalkan.

Pemain muda seperti Luqman Hakim, Wan Kuzri, Umar Hakeem dan Firdaus Kaironissam kini kehilangan peluang untuk beraksi di peringkat tertinggi. Pada tahun 2023, Malaysia akan diwakili oleh pemain daripada generasi baharu.

Bagaimanapun, mereka masih berpeluang untuk menyertai skuad senior beraksi di Piala Asia 2023 jika Malaysia berjaya layak secara merit. Harimau Malaya kini berada di kedudukan kedua dalam kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022 dengan 9 mata.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

30 Pemain Bakal Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Harimau Malaya Pada Bulan Januari 2021

Ini Reaksi ‘Ekor’ Harimau Malaya Terhadap Jersi Baharu Skuad Kebangsaan Yang Baru Dilancarkan

Kontrak Tan Cheng Hoe Dilanjutkan 2 Tahun Lagi, Terus ‘Pegang’ Harimau Malaya Sehingga Hujung 2022