Pasukan kebangsaan Poland sudah pun tiba di Qatar semalam bagi menghadapi Piala Dunia 2022. Mereka dijadualkan menentang Mexico dalam perlawanan pembukaan kumpulan C pada hari rabu ini.

Lebih menarik, mereka sempat diiringi pesawat pejuang tentera F-16 ketika berlepas ke Qatar. 

Dua jet tentera Poland mengiringi kapal terbang yang membawa bintang utama, Robert Lewandowski dan rakan sepasukan yang akan membantu Poland cuba melepasi peringkat kalah mati pertama kali sejak 1986.

Akaun rasmi pasukan kebangsaan Poland menyebut:

“Kami diiringi ke sempadan selatan Poland oleh pesawat F16! Terima kasih kepada juruterbang!”

Sebab utama penerbangan itu dilakukan ialah bagi menjaga keselamatan para pemain dan pegawai selepas terdapat isu politik membabitkan kematian dua warga Poland di ladang kira-kira 10 kilometer dari sempadan Ukraine pada Selasa.

Mesyuarat tergempar NATO diadakan berikutan kematian dua petani itu.

Namun Presiden Poland, Andrzej Duda berkata kelmarin bahawa kemungkinan besar ia disebabkan roket pertahanan udara Ukraine yang menyebabkan “insiden malang itu”.

Setiausaha Agung NATO mengatakan tiada sebarang petunjuk mengenai serangan dari Russia. Bagaimanapun ia tidak menyekat usaha mengiringi penerbangan membawa pasukan kebangsaan itu hingga sempadan Poland untuk ke Timur Tengah.

Piala Dunia 2022 Qatar dengan slogan ‘Now Is All’ bakal berlangsung di lapan stadium rasmi di Qatar melibatkan 32 negara. Setiap pasukan diundi dalam 8 kumpulan, dimana setiap kumpulan dihuni oleh 4 pasukan.

Pusingan akhir Piala Dunia 2022 peringkat kumpulan akan berlangsung selama 12 hari sebelum memasuki pusingan kalah mati dengan 4 perlawanan dilangsungkan setiap hari.

Baca lebih lanjut mengenai panduan lengkap Temasya Piala Dunia 2022 melalui pautan dibawah.

https://exclusive.thevocket.com/panduan-lengkap-temasya-piala-dunia-qatar-2022