Undian rasmi Piala Dunia 2022 telah berlangsung kelmarin. Sebanyak 30 pasukan telah diundi dalam 8 kumpulan dan beberapa slot kosong daripada pusingan play-off belum diisi dalam kumpulan B, D dan E.

Namun, Kumpulan E mencuri tumpuan peminat bola sepak apabila gergasi Asia, Jepun diundi bersama dua pasukan gergasi Eropah, Sepanyol dan Jerman yang juga merupakan bekas juara Piala Dunia. Manakala satu lagi slot akan diisi oleh pemenang play off sama ada Costa Rica atau New Zealand.

Bagaimanapun, pengendali Jepun, Hajime Moriyasu menegaskan mereka tidak begitu gentar dengan reputasi dua pasukan gergasi eropah itu dan tetap menyasarkan tiga mata penuh ke atas lawan mereka.

Skuad Samurai Blue kali ini mempunyai mentaliti yang berbeza dan mereka akan berusaha lebih keras untuk melangkah jauh dalam Piala Dunia berbekalkan pengalaman pemain beraksi di liga sekitar Eropah.

“Diundi bersama pasukan yang mempunyai pengalaman memenangi Piala Dunia adalah satu penghormatan bagi kami kerana kita memang mahu menentang pasukan terbaik di dunia.

“Kami akan menganalisis kekuatan lawan dan tidak akan memandang mereka sebagai pasukan yang lebih baik daripada kami. Kita akan menentang dengan kekuatan sendiri,” kata Moriyasu dipetik dalam Japan Times.

Jepun yang berada di ranking FIFA 23 dunia bakal membuat penampilan ketujuh dalam Piala Dunia di Qatar pada bulan November ini. Mereka akan membuat persiapan rapi dan menyasarkan untuk layak ke suku akhir.

“Sasaran kita ialah suku akhir tetapi perlu ambil serius dalam setiap perlawanan, menganalisis kekuatan lawan dan menggunakan kelebihan yang ada pada kami.

“Saya mahu membuat persiapan yang paling terbaik dan memanfaatkan semua peluang yang ada,” tambah Moriyasu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Perlawanan Persahabatan: Ikhsan Fandi Hampakan Skuad Negara

ACL 2022: Kalahkan Port FC 3-0, Ulsan Hyundai Sertai Kumpulan I

Nguyen Quang Hai Tinggalkan Hanoi FC, Mahu Beraksi Di Luar Negara

Filipina Mahu Dapatkan Khidmat Bienvenido Marañón Hadapi Sukan SEA Di Hanoi