Pentas Challenge Cup bukan sebuah kejohanan picisan sebaliknya ia adalah satu platform baik kepada pemain-pemain memasarkan diri mereka selain menjadi medan kepada pemain muda untuk beraksi.

Menurut penolong jurulatih UKM FC, Juzaili Samion, semua pasukan perlu mengambil serius terhadap setiap kejohanan kelolaan Malaysian Football League (MFL) kerana ia memberikan manfaat jangka panjang kepada industri bola sepak negara.

Beliau berpandangan, adalah penting untuk setiap pemain mendapatkan minit perlawanan yang cukup sehingga penghujung musim selepas saingan Liga Super dan Liga Premier berakhir pada Julai lalu.

Piala Cabaran
Sumber Gambar: MFL

“Mungkin ada pandangan orang lain mengatakan Challenge Cup ini seperti trofi taraf kedua namun apa sahaja yang dipertandingkan, kita kena ambil serius sebenarnya. Seperti UKM, saya selalu memberitahu pemain-pemain supaya jadikan ini sebagai batu loncatan dan cuba tunjukkan sesuatu kerana ini pentas terbaik kepada mereka kembangkan kerjaya dengan cuba memikat pasukan lain.

“Minit perlawanan juga cukup penting kerana selepas liga berakhir, pemain ada masa yang terlalu lama bagi menanti musim baharu selain ini cara terbaik menghabiskan baki kontrak mereka sehingga penghujung tahun ini, ” katanya.

Sejak saingan Challenge Cup dianjurkan pada musim lalu oleh MFL, UKM FC berjaya mara ke perlawanan akhir kali kedua berturut-turut dan pada musim ini, mereka tewas pada penentuan sepakan penalti 6-5 kepada JDT II selepas terikat seri 1-1 secara agregat.

Pandangan sama turut diutarakan oleh ketua jurulatih JDT II, Ervin Boban, yang melihat suasana kejohanan Challenge Cup ini yang dianggap bertepatan kepada istilah bola sepak profesional.

Jelasnya, setiap pemain bola sepak perlu bermain secara aktif selama 10 ke 11 bulan dan hanya menikmati rehat selama 30 ke 45 hari bagi menghadapi musim berikutnya.

Piala Cabaran
Sumber Gambar: MFL

“Challenge Cup adalah satu kejohanan yang cukup menarik dan jika tiada Challenge Cup, apa yang saya hendak buat dengan pemain-pemain? Mereka tidak boleh berlatih tanpa sebarang sasaran tertentu atau motivasi.

“Jika pemain hanya hadiri sesi latihan, ini tidak ubah seperti di sekolah dan mereka berlatih untuk suka-suka tanpa tujuan tetapi kita adalah sebuah skuad profesional.

“Malah di Challenge Cup juga menjadi pentas saya gunakan budak-budak muda yang kurang peluang untuk bermain di liga. Termasuk dengan jumlah perlawanan yang sedikit, jadi setiap pasukan kena peraga aksi terbaik pada setiap perlawanan, satu perbezaan ketara dengan liga,” katanya.

JDT II yang muncul juara Challenge Cup 2019 meraih wang tunai RM200,000 sementara UKM FC membawa pulang RM75,000 pada aksi final yang diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Baca artikel lain mengenai Piala Cabaran di sini:

Piala Cabaran 2019: Ervin Boban Anggap Kehadiran Fadhli Shas Dan Hazwan Bakri Tepat Pada Masanya

Ervin Boban Gunakan Challenge Cup Sebagai Medan Uji Pemain Muda