Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Ervin Boban dijangka akan menurunkan bekas pemain skuad kebangsaan, Fadhli Shas bagi menggantikan pertahanan import, Bruno Gabriel Soares yang terpaksa digugurkan selepas ditimpa kecederaan harmstring menjelang perlawanan final kedua Challenge Cup 2019 menentang UKM FC, malam esok.

Jelas Boban, ketiadaan import kelahiran Brazil itu sedikit memberi kesan kepada benteng pertahanan pasukan bimbingannya.

Bagaimanapun, beliau kekal optimis kehadiran Fadhli yang memiliki berpengalaman luas, tepat pada waktunya bagi membantu rakan sepasukan selain khidmat penyerang, Ahmad Hazwan Bakri turut ditagih untuk memperkasakan bahagian serangan.

“Bruno (Soares) memang tidak akan beraksi pada malam esok dan saya perlu melakukan sedikit perubahan pemain untuk memastikan pasukan tidak terjejas dengan ketiadaannya.

“Dengan kecederaan yang dialaminya serta ada juga kecederaan kecil daripada pemain-pemain lain, bantuan yang kita terima daripada JDT untuk kami menggunakan dua pemain iaitu Fadhli dan Hazwan memang cukup bermakna.

“Saya memang berharap mereka dapat memperkuatkan pasukan baik daripada aspek serangan dan pertahanan memandangkan dua pemain ini juga cukup berpengalaman untuk sama-sama bantu menjelmakan kemenangan kepada pasukan.

“Secara keseluruhan, saya tahu pemain-pemain saya sudah tahu apa yang perlu dilakukan dan tidak perlu terlalu memberi tekanan kepada mereka mengenai misi utama kita kerana sememangnya kita sangat inginkan trofi Challenge Cup ini,” jelasnya.

7C964DD0-B2C2-4946-B732-1A80F9CD5817
Hazwan Bakri jarang diturunkan dalam kesebelasan utama skuad JDT musim ini. FOTO: JST

Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL pada 1 Mac lalu telah memutuskan tiada lagi had umur bagi pemain-pemain tempatan untuk berpindah dari skuad utama ke “Reserve Team” atau sebaliknya.

Menerusi peraturan itu, Fadhli dan Hazwan dibenarkan beraksi bersama JDT II dalam aksi final kedua Challenge Cup malam esok.

Dalam perkembangan sama, Boban ingin anak buahnya sedar akan kekuatan pasukan UKM FC yang jelas bukan mudah untuk membiarkan tembok mereka ditembusi sekali lagi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

photo_2019-10-11_17-40-24
Finalist Piala Cabaran 2019 bergambar bersama di sidang media. FOTO: MFL

Ini kerana beliau melihat skuad kendalian Sulaiman Hussin itu tidak kurang hebatnya dalam usaha mereka untuk memburu gol walaupun sudah ketinggalan 1-0 ketika final pertama di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, minggu lalu.

“Saya selalu katakan kepada pemain untuk tetap hormat kepada pasukan lawan dan saya mahu mereka awasi kekuatan mereka daripada pelbagai aspek.

“Kami perlu ada rasa rendah diri dalam situasi ketika ini walaupun sudah mendahului dengan kemenangan 1-0 tempoh hari kerana apa sahaja boleh berlaku.

“Baik JDT II atau UKM FC, kedua-duanya ingin tamatkan musim ini dengan menjulang trofi Challenge Cup dan saya juga percaya akan kekuatan pemain-pemain saya untuk merealisasikan misi tersebut”, jelasnya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan JDT yang mungkin anda terlepas pandang.

Fadhli Shas Dan Hazwan Bakri ‘Diturunkan Pangkat’ Ke JDT II

Pemain JDT Terima Rawatan Daripada Pakar Bedah Berkelas Dunia

Delegasi Double Pass Akan Pastikan JDT Setaraf Dengan Kelab Elit Dunia