Tiga wakil ASEAN dalam saingan Piala Asia Futsal 2022 iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia berjaya melepasi cabaran masing-masing untuk layak ke peringkat suku akhir yang akan berlangsung esok.

Penilaian di atas kertas memperlihatkan Thailand berpeluang cerah untuk mara ke separuh akhir apabila dijadualkan bertemu pasukan ranking ke-50 dunia iaitu Tajikistan.

Thailand yang kini menghuni tangga ke-21 dunia dilihat mempunyai ramuan secukupnya untuk mengulangi pencapaian bergelar empat pasukan terbaik pada tujuh edisi sebelum ini.

Adunan bakat baharu berkualiti tinggi bersama pemain berpengalaman seperti Suphawut Thueanklang, Jetsada Chudech dan Warut Wangsama-Aeo jelas mampu memberikan impak positif buat skuad kendalian Carlos Cesar Nunez Gago tersebut.

Kredit Foto: 2022 Asian Football Confederation (AFC)

Sementara itu, tugas berat menanti Vietnam yang akan bertemu gergasi futsal dunia, Iran manakala Indonesia pula terpaksa berhadapan dengan juara tiga kali kejohanan, Jepun.

Meskipun bakal menanti asakan hebat daripada Iran, barisan pemain Vietnam yang kini dibimbing jurulatih dari Argentina, Diego Giustozzi pasti akan mengerah kudrat anak buahnya untuk memberikan tentangan sengit buat juara 12 kali kejohanan itu.

Begitu juga dengan Indonesia yang semakin menunjukkan peningkatan sejak melantik Mohammad Hashemzadeh selaku ketua jurulatih.

Kredit Foto: 2022 Asian Football Confederation (AFC)

Lebih menarik, pembantu jurulatih Jepun, Kensuke Takahashi merupakan antara individu penting dalam memberikan dimensi baharu buat skuad futsal Indonesia sehingga mampu memberikan saingan sengit buat Thailand seperti disajikan ketika Kejuaraan Futsal AFF 2022 dan Sukan SEA 2021 tempoh hari.

Dengan persiapan rapi sejak daripada awal, semenangnya menarik untuk menyaksikan perjuangan negara dari ASEAN dalam usaha mereka untuk melakar kejutan bagi mengintai peluang muncul juara pada saingan kali ini.