Taktikal ‘Power Play’ sekali lagi membantu Thailand apabila mereka bangkit untuk mencatatkan keputusan seri 2-2 pada aksi kedua kumpulan A Piala Asia Futsal 2022 bertemu Kuwait di Dewan Saad Al Abdullah.

Keputusan seri itu juga telah menghalang kedua-dua pasukan untuk mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir dengan lebih awal.

Keadaan itu menyaksikan Kuwait kini menghuni tangga teratas meskipun berkongsi empat mata dengan Thailand berikutan kelebihan defisit jaringan dimiliki.

Pada perlawanan tersebut, Thailad dilihat mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol tetapi penyudah tumpul nyata menggagalkan usaha mereka untuk sekadar berpuas hati dengan satu mata.

Skuad kendalian Carlos Cesar Nunez Gago itu bagaimanapun berjaya mendapatkan jaringan pendahuluan pada minit ketujuh menerusi Sarawut Phalapruek.

Sarawut meledakkan rembatan jarak jauh dari sebelah kiri pintu gol Kuwait yang tidak mampu diselamatkan oleh penjaga gol, Khaled Abdullah.

Walaupun Thailand kelihatan menguasai permainan, Kuwait sesekali hadir untuk memberikan ancaman ke arah kubu yang dikawal penjaga gol berpengalaman, Katawut Hankampa.

Usaha pasukan tuan rumah membuahkan hasil pada minit ke-19 apabila ketua pasukan, Hamad Hayat berjaya merampas bola di kaki Itticha Praphaphan dalam kawasan D Thailand lalu melorongkan kepada Saleh Alfadhel yang mudah menyempurnakan peluang untuk kembali menyamakan kedudukan.

Kredit Foto: 2022 Asian Football Confederation (AFC)

Memasuki babak kedua, Thailand melancarkan serangan bertali-arus pada empat minit awal tetapi Khaled Abdullah begitu cemerlang dalam menggagalkan percubaan dilakukan Jetsada Chudech, Krit Aransanyalak dan Sarawut.

Ketika Thailand kelihatan bernafsu untuk menambah jaringan, tanpa disangka-sangka Kuwait berjaya mendapatkan jaringan kedua menerusi Abdulaziz Albasam.

Berpunca daripada sepakan ke dalam yang pantas dilakukan Abdulrahman Alwadi, Albasam melepasi kawalan pemain Thailand dan kemudiannya melakukan percubaan tonjol untuk menewaskan Hankampa pada minit ke-28.

Melihat peluang kian sukar untuk mendapatkan jaringan, Carlos Gago menggunakan taktikal ‘Power Play’ pada lima minit terakhir permainan.

Perjudian itu jelas cukup berkesan buat pasukannya apabila Krit bijak mencuri ruang untuk menolak masuk bola hasil hantaran lintang daripada Warut Wangsama-Aeo pada minit ke-36 sekali gus perlawanan berkesudahan dengan kedudukan 2-2.

Perlawanan ketiga pada Sabtu nanti amat menarik untuk disaksikan kerana Kuwait, Thailand dan Iraq masih berpeluang untuk layak ke suku akhir.

Kuwait perlu berhadapan dengan Iraq yang mencatatkan kemenangan pada aksi kedua manakala Thailand mungkin sedikit lega kerana akan bertemu pasukan tangga terbawah, Oman.