Iran semakin menghampiri kejuaraan ke-13 apabila mara ke final Piala Asia Futsal 2022 selepas tidak berdepan bermasalah menundukkan Thailand 5-0 pada aksi separuh akhir yang di Dewan Saad Al Abdullah, Kuwait awal pagi tadi.

Menanti pasukan rangking keenam dunia itu ialah Jepun dimana ia bakal mengulangi pertemuan final 2018 di Chinese Taipei yang menyaksikan Iran menang 4-0.

Skuad kendalian Vahid Shamsaei tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila penjaring terbanyak kejohanan, Hossein Tayebi terus cemerlang merobek gawang lawan pada minit pertama.

Menerima bola hasil lontaran jauh penjaga gol, Saeid Momeni, Tayebu yang merupakan antara pemain terbaik dunia pada ketika ini dengan tenang melakukan dadaan dan kemudiannya menyudahkan peluang untuk membolosi Katawut Hankampa.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat babak pertama dan aksi pada 20 minit seterusnya menyaksikan Iran semakin bernafsu untuk menambah jaringan dan ia nyata memberikan tekanan buat Thailand.

Kredit Foto: 2022 Asian Football Confederation (AFC)

Hanya selepas dua minit aksi bersambung, Mohammadhossein Derakhshani menambah gol kedua selepas beliau mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Salar Aghapour.

Selepas itu, giliran Moslem Oladghobad yang beraksi dalam saingan Liga Futsal Sepanyol pula mengukuhkan kedudukan dengan dua jaringan pantas pada minit ke-24 dan 27.

Derakhshani memastikan Iran layak dengan keputusan 5-0 apabila beliau sekali lagi berada di kedudukan tepat untuk menolak masuk hantaran baik dilakukan Salar Aghapour.

Iran nyata berada di kelas mereka yang tersendiri apabila sudah berjaya menjaringkan 37 gol dan hanya dibolosi dua gol selepas mengharungi lima perlawanan.