Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Finalis edisi lalu, Jepun bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk untuk mara ke separuh akhir Piala Asia Futsal 2022 selepas menundukkan Indonesia 3-2 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Dewan Saad Al Abdullah, Kuwait sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila Indonesia memberikan tentang yang cukup sengit sehingga ke detik penamat aksi.

Selain itu, kecemerlangan Muhammad Nizar Nayaruddin dan Higor Pires di gawang masing-masing jelas menjadi topik utama pada perlawanan ini dimana begitu banyak peluang terhidang dinafikan oleh kedua-dua penjaga gol itu.

Keadaan itu menyebabkan kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama walaupun deretan percubaan berbahaya ke kubu lawan masing-masing berjaya dilancarkan.

Samuel Eko Putra Tampubolo memberikan kegembiraan buat kem Indonesia pada minit ke-21 apabila beliau berjaya merampas bola ketika Soma Mizutani cuba untuk melakukan hantaran rakan sepasukannya di tengah gelanggang.

Beliau yang tidak dikawal terus meluru ke dalam kawasan D dan kemudiannya melepaskan rembatan bagi membolosi gawang Higor Pires untuk meletakkan Indonesia di hadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Kenichiro Kogure itu tampil dengan lebih tersusun untuk memburu jaringan yang diharapkan.

Kredit Foto: 2022 Asian Football Confederation (AFC)

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-33 selepas percubaan leret dilakukan Sora Kanazawa di sebelah kiri pintu gol Indonesia berjaya menewaskan Muhammad Nizar.

Bagaikan mendapat tonik daripada jaringan penyamaan itu, Jepun hanya memerlukan beberapa saat untuk mendapatkan jaringan kedua susulan tekanan tinggi dilakukan sehingga menyebabkan pemain Indonesia melakukan kesilapan.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Soma Mizutani untuk meledakkan rembatan yang tidak mampu diselamatkan oleh Muhammad Nizar.

Keadaan itu membuatkan Indonesia menggunakan taktikal ‘Power Play’ tetapi kesilapan dilakukan membolehkan Higor Pires melakukan rembatan dari kawasannya sehingga berjaya memberikan gol ketiga buat Jepun pada minit ke-39.

Meskipun perlawanan hanya tinggal seminit untuk ditamatkan, Indonesia tetap belum berputus asa untuk mendapatkan jaringan dimana Dewa Rizki Amanda berjaya merapatkan jurang pada minit ke-40.

Mereka kemudiannya hampir menyamakan kedudukan tetapi jaringan Rio Pangetsu tidak dikira kerana ‘buzzer’ telah pun dibunyikan ketika beliau mahu menolak masuk bola tersebut.

Walaupun mendapat pertikaian daripada kem Indonesia, pengadil perlawanan tidak berganjak dengan keputusan beliau untuk kemenangan 3-2 memihak Jepun.