Kekalahan 0-3 ditangan Thailand pada aksi kedua di Milliy Stadion sebentar tadi menyaksikan skuad muda negara ditunjukkan jalan keluar daripada merebut tempat ke suku akhir Piala Asia B-23 2022.

Anak buah Brad Maloney pada mulanya mempamerkan aksi bertenaga dengan melakukan dua serangan pantas ke kubu lawan menerusi Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Nik Akif Syahiran Nik Mat di awal permainan.

Namun, Thailand kemudiannya pantas untuk memperkemaskan aksi bagi memberikan kesukaran buat para pemain negara dengan corak permainan berkualiti dipamerkan.

Ia jelas dibuktikan pada minit ke-23 apabila hantaran jauh dilakukan Channarong Promsrikaew terus mencari Suphanat Mueanta yang berjaya melepasi perangkap ofsaid lalu meluru pantas ke pintu gol skuad negara.

Rembatan yang dilakukan Suphanat masih sempat dihalang oleh Harith Haikal Adam Afkar tetapi bola membias sekali gus tidak mampu dihalang penjaga gol, Rahadiazli Rahalim untuk meletakkan Thailand di hadapan.

Kredit Foto: FAM

Aksi selepas itu jelas memperlihatkan dominasi secara total skuad kendalian Woorawot Srimaka dan hampir menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-29. Namun, percubaan Suphanat dalam kawasan penalti dinafikan Rahadiazli.

Memasuki babak kedua, Maloney memasukkan dua pemain penyerang, Hadi Fayyadh dan Aiman Afif untuk menambah kekuatan di posisi tersebut dalam usaha untuk mendapatkan jaringan.

Bagaimanapun ia kelihatan tidak mampu untuk membantu skuad negara walaupun Hadi mendapat peluang terbaik pada minit ke-60 dimana percubaan ‘placing’ dilakukannya dalam kawasan penalti dihalang penjaga gol, Nopphon Lakhonpon.

Sebaliknya, Thailand yang kelihatan cukup selesa mengawal permainan menambah dua lagi jaringan untuk mematikan sisa perjuangan skuad negara menerusi Channarong dan Suphanat sekali gus mengesahkan kemenangan 3-0.

Dengan keputusan yang dicatatkan, skuad negara di tangga terbawah tanpa sebarang mata selepas mengharungi dua perlawanan manakala Thailand pula di tangga kedua dengan empat mata. Vietnam yang mengikat Korea Selatan pada satu lagi aksi kumpulan C berada di kedudukan ketiga selepas meraih dua mata.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad B-23 negara di Uzbekistan melalui pautan dibawah.

Mukhairi Ajmal: Lupakan Kekalahan, Fokus Aksi Berdepan Thailand

Piala Asia B-23: Jurulatih Korea Selatan Akui Malaysia Lawan Yang Sukar

AFC B-23: Brad Maloney Tetap Puji Aksi Ditampilkan Anak Buahnya