Hasrat skuad muda Vietnam untuk beraksi di Piala Dunia B-20 tidak menjadi kenyataan apabila mereka tewas 1-3 kepada Iran dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Asia Bawah 20 (B-20) yang berlangsung semalam.

Vietnam hanya memerlukan keputusan seri untuk melangkah ke suku akhir selepas mereka mengejutkan dua pasukan gergasi, Australia (1-0) dan Qatar (2-1) namun gagal menewaskan skuad Iran yang memiliki kelebihan dari segi jumlah jaringan walaupun terikat 6 mata sama dalam kumpulan B.

Ketika perlawanan tersebut, Iran berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi tandukan Amin Hazbavi pada minit ke 36.

Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak mematahkan semangat skuad Vietnam untuk bangkit melancarkan serangan ke kubu pasukan lawan.

10 minit selepas separuh masa kedua bermula, serangan balas Vietnam membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan Khuat Van Khang yang tenang menyudahkan hantaran cantik dari sebelah kanan.

Namun begitu, jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila Saeid Saharkhizan meletakkan Iran di depan selepas menolak masuk gol kedua pada minit ke 75 menerusi gerakan menarik dalam kawasan kotak penalti.

Vietnam juga jelas berdepan kesukaran untuk bersaing dengan Iran yang memiliki fizikal lebih besar dan ketinggalan dari segi kepantasan.

Segalanya sudah terlambat untuk Vietnam melakukan kebangkitan ketika Iran terus menambah gol ketiga di minit akhir perlawanan sekaligus menyingkirkan mereka daripada saingan Piala Asia B-20.

Satu lagi wakil Asia Tenggara, Indonesia mencatat keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan menentang Uzbekistan. Skuad kendalian Shin Tae-yong itu sebelum ini menewaskan Syria 1-0 dan sudah bersedia untuk menghadapi Piala Dunia B-20 yang berlangsung di negara itu.