Australia dilaporkan tidak akan meneruskan usaha untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Asia 2023 seperti yang dilaporkan laman Twitter The Asean Football, sebentar tadi.

Dengan perkembangan terkini tersebut, persaingan untuk menggantikan China sebagai tuan rumah pertandingan paling berprestij di benua Asia itu hanya tertumpu kepada Korea Selatan, Indonesia dan Qatar.

Seperti dilaporkan sebelum ini, minat Australia untuk menganjurkan Piala Asia 2023 adalah bergantung kepada pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mengubah tahun kejohanan dari tahun 2023 ke 2024.

Australia Sedia Jadi Tuan Rumah Piala Asia Dengan Syarat AFC Anjak Ke Tahun 2024

Hal ini kerana negara tersebut akan turut menjadi tuan rumah bersama dengan New Zealand untuk menganjurkan Piala Dunia Wanita 2023.

Keadaan itu mungkin menjadi penyebab utama Australia terpaksa menarik diri kerana difahamkan AFC mahu mengekalkan tarikh asal Piala Asia 2023 pada 16 Jun hingga 16 Julai 2023.

Sebagai rekod, Australia pernah menjadi tuan rumah pada edisi 2015 dan turut muncul juara pada ketika itu selepas menundukkan Korea Selatan 2-1.

AFC terpaksa mencari tuan rumah baharu bagi saingan Piala Asia 2023 kerana kebimbangan terhadap pandemik COVID-19 yang masih sukar dikawal di negara tembok besar itu.

Pendedahan dibuat Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John pada Jun lalu menyaksikan keputusan mengenai negara mana yang dipilih sebagai tuan rumah akan diketahui pada Oktober nanti.

Sebanyak 24 pasukan telah mengesahkan tempat ke pusingan akhir dimana skuad negara yang dibimbing Kim Pan-gon turut menempa sejarah manis dengan menamatkan penantian 43 tahun untuk layak secara merit selepas menundukkan Turkmenistan dan Bangladesh.

Kredit Featured Image: Football Australia