Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memberi bayangan bakal melakukan perubahan di bahagian serangan pada aksi kedua kumpulam B menentang Laos dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 hari ini.

Beberapa pemain sudah berada dalam senarai pendek Cheng Hoe bagi mengisi jentera serangan selepas menampilkan prestasi yang baik pada aksi pembukaan menentang Kemboja pada Isnin lalu.

“Kita ada pemain seperti Kogi (Kogileswaran), Luqman Hakim, Ariff Aiman dan Shahrel Fikri yang memberikan gambaran mereka mampu jika diberikan peluang beraksi dalam kesebelasan utama nanti.

“Mengenai (Guilherme) de Paula, barisan jurulatih juga menaruh harapan jika diturunkan, dia masih boleh beri tumpuan dan prestasi terbaiknya bagi menjamin kejayaan pasukan,” katanya.

Pada aksi menentang Kemboja, Guilherme menampilkan prestasi yang kurang memberangsangkan dimana beliau gagal menyempurnakan peluang yang dimiliki sekaligus tidak memberikan sebarang impak positif di bahagian serangan.

Apabila Guilherme dikeluarkan pada separuh masa kedua, jentera serangan negara dilihat lebih efektif dengan kemasukan Shahrel, Luqman dan Kogileswaran dan pemain Petaling Jaya City itu berjaya menjaringkan gol ketiga Malaysia setelah menyempurnakan hantaran dari Luqman.

Pemain naturalisasi negara itu nyata berang apabila dikeluarkan apabila beliau merenung tajam ke arah penyokong Malaysia yang hadir pada perlawanan tersebut sebelum dilihat melampiaskan kekecewaan dengan membaling botol air dibangku simpanan.

Mengenai Laos, Tan Cheng Hoe berpendapat pasukan itu mempunyai barisan pertahanan yang baik serta berdisiplin dan beliau menjangkakan pemain negara akan berdepan kesukaran untuk mencari jaringan.

Pada perlawanan pembukaan, Laos tewas kepada Vietnam dengan keputusan 2-0 menerusi jaringan Phan Van Duc pada separuh masa pertama dan Nguyễn Công Phượng pada separuh masa kedua.

Selepas berdepan Laos, pasukan negara akan turun menentang Vietnam pada 12 Disember dan mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan menentang musuh tradisi iaitu Indonesia pada 19 Disember.

Malaysia kini menduduki tangga teratas dalam kumpulan B, dibezakan jumlah jaringan dengan Vietnam yang menduduki tangga kedua.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Piala AFF Suzuki 2020 di sini:

Piala AFF 2020: Singapura Terus Raih Kemenangan, Tundukkan Filipina

Piala AFF 2020: Myanmar Lakar Kemenangan Ke Atas Timor Leste

Chanathip Songkrasin Dan Theerathon Bunmathan Sertai Kem Thailand