Pasukan Malaysia berdepan krisis kekurangan pemain dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 apabila dua lagi pemain disahkan positif COVID-19 setelah menjalani ujian calitan sebelum perlawanan menentang Laos semalam.

Menurut perkongsian wartawan The Star, T.Avineshwaran, dua lagi pemain yang dijangkiti COVID-19 ialah pemain sayap, Akhyar Rashid serta pemain pertahanan, Quentin Cheng dan ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe telah mengesahkan perkara ini.

Sebelum berdepan Kemboja pada aksi pembukaan kumpulan B pada Isnin lalu, dua pemain iaitu Faisal Halim dan penjaga gol, Kahirulazhan Khalid terlebih dahulu disahkan positif COVID-19 dan diarahkan untuk menjalani kuarantin di dalam bilik hotel.

Selepas pemain menjalani ujian calitan pada pagi Khamis sebelum berdepan Laos, Akhyar dan Quentin disahkan positif dan kedua-dua pemain diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 10 hari.

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan pemain yang menjalani kuarantin selama 10 hari akan menjalani ujian calitan setiap hari bagi mengetahui keadaan semasa setiap pemain.

Sekiranya keputusan ujian calitan negatif, maka pihak pengurusan akan memohon untuk pemain tersebut kembali menyertai skuad kebangsaan.

Dengan ketiadaan empat pemain ini, Malaysia kini hanya mempunyai 20 pemain dari senarai awal iaitu 24 pemain yang dibawa ke Singapura bagi menghadapi saingan edisi kali ini.

Apa yang menjadi kerisauan ialah terdapat pemain lain dalam pasukan yang turut dijangkiti COVID-19 sekaligus terpaksa menjalani proses kuarantin dan tidak dapat beraksi bersama pasukan negara.

Sekiranya perkara ini terjadi, maka Tan Cheng Hoe akan berdepan cabaran besar dalam mengumpulkan pemain terbaik bagi menghadapi dua lagi pasukan dalam kumpulan B iaitu Vietnam dan Indonesia.

Skuad Harimau Malaya akan turun berdepan Vietnam pada 12 Disember ini dan akan berehat selama seminggu sebelum menutup saingan peringkat kumpulan menentang Indonesia pada 19 Disember.

Setelah mengharungi dua perlawanan, pasukan negara ketika ini menduduki tangga teratas kumpulan B dengan enam mata, tiga mata di hadapan Indonesia dan Vietnam.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Piala AFF Suzuki 2020 di sini:

Piala AFF 2020: Indonesia Pamer Aksi Bertenaga Tundukkan Kemboja

Safawi Rasid: Sokongan Rakan Sepasukan Bantu Saya Ledak Hatrik

‘Tahi Judi’ Ini Bengang Malaysia Menang Besar, Dakwa Laos Jual Perlawanan Di Singapura