Ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo tanpa berselindung mengakui tugas berat menantinya dalam usaha menyiapkan pasukan yang mantap bagi menghadapi saingan Piala Suzuki AFF 2020.

Kempen yang bakal bermula 5 Disember itu menyaksikan Vietnam selaku juara bertahan, berada dalam satu kumpulan bersama Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Laos dimana edisi kali ini diadakan di Singapura.

Selain daripada faktor kecederaannya yang memberikan sedikit kesukaran, pengendali kelahiran Korea Selatan itu melihat prestasi ketika Kelayakan akhir Piala Dunia 2022 turut mempengaruhi mentaliti para pemainnya.

Selepas mengharungi enam perlawanan, skuad ‘Naga Emas’ itu tewas pada kesemua aksi tersebut dengan hanya mampu menjaringkan empat gol manakala dibolosi sebanyak 12 kali.

“Sasaran kami adalah untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFF,” ujar Hang-seo menurut sumber laporan dikeluarkan VN Express International.

“Ramai pemain utama kami mengalami kecederaan dan kami perlu untuk mencari pengganti mereka. Kami perlu untuk mencari muka-muka baharu sekiranya kami mahu sekali lagi memenangi Piala AFF.”

“Mentaliti pemain agak berat pada ketika ini. Saya perlu mencari jalan untuk menghilangkan tekanan hebat yang digalas di bahu mereka,” tambah Park Hang-seo lagi.

Bagi menghadapi persaingan hebat serantau itu nanti, Hang-seo telah memanggil 34 orang pemain untuk menjalani latihan pusat di Vung Tau yang mana sembilan pemain akan digugurkan sebelum terbang ke Singapura.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1996, Vietnam telah muncul juara Piala AFF bagi edisi 2008 setelah menewaskan Thailand dengan agregat 3-2 manakala mereka mengulanginya 10 tahun kemudian juga dengan keputusan yang sama ke atas Malaysia.

Kemaraan ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia serta merupakan pasukan di ranking pertama Asia Tenggara (ASEAN), Vietnam jelas disebut-sebut sebagai calon utama untuk dinobatkan sebagai juara pada kali ini.

Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.

Risiko Gagal Ke Piala Dunia 2022 Menanti Portugal, Itali

Piala Malaysia 2021: Tiga Jaringan Pantas Pastikan JDT Bergaya Ke Final

Tiga Anak Fandi Ahmad Tersenarai Dalam Skuad Singapura Hadapi Piala AFF