Pasukan kebangsaan Thailand kehilangan khidmat salah satu pemain bintang mereka, Chanathip Songkrasin bagi menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang akan berlangsung pada akhir tahun ini.

Salah satu sebab mengapa Chanathip enggan beraksi dalam saingan edisi kali ini ialah beliau mahu fokus dalam membantu kelabnya iaitu Kawasaki Frontale dalam saingan Liga Jepun selain tidak mahu mengalami sebarang kecederaan yang boleh menjejaskan peluangnya untuk tampil bersama kelab.

Saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 kali ini berlangsung pada waktu yang sama dimana Kawasaki memulakan pra musim mereka bagi menghadapi saingan musim 2023 dan Chanathip mahu memberikan sepenuh fokusnya bersama pasukan itu.

https://twitter.com/theaseanball/status/1577650272926851072

"Secara jujurnya saya mahu beraksi bersama pasukan kebangsaan tetapi saya telah beraksi dalam kejohanan ini sebanyak empat kali dan saya tidak bersedia untuk menghadapi saingan edisi kali ini.

"Saya mahu memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi. Ini kerana kita tidak mempunyai pemain yang cukup bagi menggantikan pemain senior dalam skuad kebangsaan. Generasi muda sedang menanti peluang untuk bermain dan kita perlu memberi mereka peluang.

"Itu akan jadi modal untuk Thailand tetap bersaing di peringkat antarabangsa khususnya di peringkat Asia setelah saya bersara dari bola sepak profesional nanti.

"Dalam semua kejohanan, Thailand tidak boleh kalah. Siapa pun yang beraksi, kita perlu muncul sebagai juara. Gagal untuk menjadi juara sudah pasti akan membuat peminat kecewa, namun saya lebih gembira jika boleh melakukan itu dengan generasi baharu," kata Chanathip Songkrasin.

Dalam empat edisi, Chanathip membantu Thailand muncul juara dalam tiga edisi iaitu pada tahun 2014, 2016 dan 2020. Pada tahun 2014, Thailand menewaskan Malaysia dengan keputusan 4-3 secara agregat manakala pada tahun 2016, skuad Gajah Perang menewaskan Indonesia dengan keputusan 3-2 secara agregat.

Indonesia sekali lagi menjadi mangsa Thailand pada perlawanan akhir edisi 2020 dimana skuad yang dibimbing oleh Shin Tae-yong tewas dengan keputusan 6-2 secara agregat sekaligus memberikan kejuaraan keenam buat Thailand dalam sejarah kejohanan Piala AFF.