Pasukan kebangsaan Myanmar akan beraksi di stadium tanpa penonton bagi menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 setelah mengambil kira faktor keselamatan ekoran krisis yang sedang berlaku di negara itu.

Myanmar diletakkan dalam kumpulan B bersama Vietnam, Malaysia, Laos serta Singapura dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric edisi kali ini dan mereka dijadualkan menjadi tuan rumah pada aksi menentang Malaysia pada 21 Disember dan Laos pada 30 Disember.

Menurut perkongsian Asean Football di laman media sosial Twitter, Persekutuan Bola Sepak Myanmar (MFF) menegaskan isu keselamatan menjadi faktor utama mengapa langkah ini diambil dan mereka tidak mahu mengambil sebarang risiko terutamanya mengenai keselamatan pemain dan pegawai pasukan serta penonton yang hadir ke stadium.

Myanmar sedang menghadapi krisis yang melibatkan pihak tentera dan juga kerajaan tempatan dimana rejim tentera telah melakukan serangan secara kejam dan membunuh ramai kanak-kanak yang terperangkap dalam pertempuran konflik antara dua pihak sekaligus menjadi sasaran keganasan, menurut laporan PBB yang dikeluarkan pada Jun lalu.

Lebih 2,400 orang, termasuk berpuluh kanak-kanak, telah terbunuh dan lebih 16,000 orang telah ditahan oleh pihak junta sejak rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera pada Februari tahun lalu menurut perkongsiamn kumpulan hak asasi manusia. Perkara ini menunjukkan keadaan keselamatan di negara itu sememangnya berada di tahap membimbangkan.

Selepas tragedi yang berlaku di Stadium Kanjuruhan ketika perlawanan Liga 1 Indonesia antara Arema menentang Persebaya yang menelan korban seramai 131 orang, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) meminta agar perlawanan menentang Indonesia pada 29 Disember diadakan tanpa kehadiran penonton dan mereka juga mahu tuan rumah untuk mengetatkan lagi tahap keselamatan di sekitar stadium.

Bagi skuad Harimau Malaya pula, pasukan negara akan menjadi tuan rumah bagi dua perlawanan iaitu menentang Laos pada 21 Disember dan Singapura pada 3 Januari 2023.