Malang menimpa skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan tiga pemain telah disahkan positif COVID-19 menjelang pertemuan kedua menentang Laos pada 21 Februari ini.

Lebih mengejutkan, penolong jurulatih skuad itu turut dijangkiti COVID-19 dan mereka kini sedang menjalani proses kuarantin dan diasingkan daripada aktiviti pasukan.

“Tiga pemain Harimau Malaya B-23 telah disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian pantas antigen (ART) di hotel penginapan di Phnom Penh, Kemboja, pagi tadi.

“Tiga pemain tersebut ialah Abdul Hanafie Tokyo, Zainal Abidin Jamil dan T. Saravanan. Selain itu, penolong jurulatih, Khan Hung Meng juga telah disahkan positif COVID-19.

“Ketiga-tiga pemain serta penolong jurulatih berkenaan telah diasingkan serta-merta daripada aktiviti bersama pasukan dan akan menjalani ujian PCR, pagi esok,” tulis kenyataan rasmi FAM.

Sementara itu, dua pemain yang sebelum ini telah positif COVID-19 ketika ujian PCR setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh iaitu Fahmi Daniel Zaaim dan Shafi Azswad Sapari dijangka bebas daripada tempoh isolasi masing-masing, hari ini atau esok, tertakluk kepada keputusan ujian PCR terkini mereka sebelum dibenar kembali menyertai latihan bersama pasukan.

Malaysia tewas 1-2 kepada Laos semalam dan kekalahan itu telah mengundang pelbagai kritikan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. Anak buah Brad Maloney itu perlu bangkit pada perlawanan kedua untuk mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Piala Asia B-23: Malaysia Jumpa Vietnam dan Thailand Lagi

Piala AFF B-23: Demi Semangat Kesukanan, Malaysia Akan Menentang Laos Dua Kali

Piala AFF B-23: Pemain Pertahanan Selangor Terpaksa Diketepikan Kerana Kecederaan Lutut

Kim Pan-gon Mula Tugas Latih Harimau Malaya Pada Bulan Mac 2022