Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Peluang pemain sayap Selangor FC 2, Fahmi Daniel Zaaim untuk beraksi pada Kejuaraan B-23 AFF 2022 kembali terbuka apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pemain pertahanan, Zikri Khalili terpaksa dilepaskan kerana kecederaan lutut.

Penukaran itu dilakukan sebelum skuad Harimau Malaya B-23 menghantar senarai akhir kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFF) untuk pendaftaran pemain pada Ahad lalu (13 Februari 2022).

Menurut Ketua Jurulatih Harimau Malaya B-23, Brad Maloney, beliau mahu memberikan peluang yang mencukupi buat Zikri untuk pulih dan kembali berlatih bersama pasukannya namun kecederaan serius yang dialaminya menyebabkan pemain berusia 20 tahun itu terpaksa diketepikan.

“Zikri telah mengalami kecederaan berkenaan selepas menjalani beberapa siri perlawanan persahabatan bersama Selangor FC.

“Saya mahu memberikan beliau sebanyak mungkin peluang untuk pulih dan memulakan latihan bersama pasukan semula namun begitu kecederaannya itu tidak dapat pulih dalam jangka masa pendek.

“Justeru itu, kami telah menyenaraikan semula Fahmi yang masih menjalani kuarantin di hotel isolasi bagi menggantikan kekosongan pemain di dalam pasukan” jelas Brad.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) terbaharu yang dikeluarkan oleh AFF, Fahmi Daniel serta Shafi Aszwad Sapari perlu menjalani sesi kuarantin selama lima hari sebelum kedua-dua pemain ini dibenarkan untuk kembali bersama pasukan.

Skuad negara setakat ini belum turun beraksi dalam perlawanan sebenar apabila Myanmar yang sepatutnya menentang mereka semalam telah menarik diri kerana beberapa pemain pasukan itu disahkan positif COVID-19.

Malaysia dijadualkan menentang Laos pada 18 Februari ini pada pukul 5 petang. Kemenangan ke atas Laos akan memastikan kemaraan skuad negara ke peringkat separuh akhir.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

TERKINI: Myanmar Sah Tarik Diri Dari Kejohanan AFF U23 Akibat Jangkitan COVID19, 3 Mata Percuma Untuk Malaysia?

Piala AFF B-23: Wan Kuzri Tak Jadi Sertai Skuad Malaysia

Datuk Hamidin Jelaskan Sebab Sebenar Sumareh Tolak Panggilan Ke Skuad Kebangsaan

Kim Pan-gon Mula Tugas Latih Harimau Malaya Pada Bulan Mac 2022

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group