Terdapat perubahan jadual dalam Kejohanan AFF bawah 23 tahun (B-23) yang sedang berlangsung di Kemboja kali ini apabila Federasi Bola Sepak ASEAN (AFF) mengesahkan skuad Malaysia B-23 akan menentang Laos B-23 sebanyak dua kali.

Keputusan ini dilakukan atas semangat kesukanan disebabkan pasukan Myanmar yang berada satu kumpulan dengan Malaysia dan Laos telah menarik diri kerana beberapa pemain mereka disahkan positif COVID-19.

Walaupun pihak pasukan Myanmar telah menjalani ujian sebelum dan selepas tiba di Kemboja, bilangan kes positif dalam skuad negara itu semakin ramai dan keputusan menarik diri diambil untuk meminimakan risiko jangkitan.

Berdasarkan jadual baharu, skuad kendalian Brad Maloney akan menentang Laos pada 18 Februari di Stadium Prince pada pukul 5 petang. Kemudian, mereka akan menentang lawan yang sama di Stadium Nasional Techo Morodok pada 21 Febaruari pada pukul 8 malam.

Pemenang dalam dua perlawanan ini akan dinobatkan sebagai juara kumpulan B sekaligus layak ke peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, tonggak pertahanan tengah negara, Harith Haiqal Adam Afkar mengakui Laos sebenarnya bukan mudah untuk ditewaskan berdasarkan pengalamannya beraksi menentang lawan yang sama dalam saingan Kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia Oktober tahun lalu

“Seperti yang kita tahu masa kat Mongolia, Laos bukan pasukan yang senang (ditewaskan). Mereka bertahan dengan sangat bagus dan kita pun menang dengan Laos 1-0 saja.

“Jadi saya rasa semua pemain tak boleh ambil mudah dan tak boleh nak anggap Laos itu mudah untuk main. Bagi saya Laos pasukan yang kuat sekarang dan susah nak tembus pertahanan.

“Tapi sekarang kita nak atau tak nak, kena menang juga untuk layak ke separuh akhir,” katanya kepada Bernama. 

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Piala AFF B-23: Pemain Pertahanan Selangor Terpaksa Diketepikan Kerana Kecederaan Lutut

TERKINI: Myanmar Sah Tarik Diri Dari Kejohanan AFF U23 Akibat Jangkitan COVID19, 3 Mata Percuma Untuk Malaysia?

Piala AFF B-23: Wan Kuzri Tak Jadi Sertai Skuad Malaysia

Datuk Hamidin Jelaskan Sebab Sebenar Sumareh Tolak Panggilan Ke Skuad Kebangsaan

Kim Pan-gon Mula Tugas Latih Harimau Malaya Pada Bulan Mac 2022