Ketua jurulatih Thailand, Mano Polking berharap dapat bertemu skuad Harimau Malaya di peringkat separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric tahun ini setelah menyedari kekuatan yang dimiliki oleh pasukan negara.

Bercakap kepada para wartawan, beliau mengakui Malaysia semakin kuat sejak dibimbing oleh jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon berdasarkan prestasi dalam saingan King’s Cup 2022 pada bulan September lepas.

Ketika itu, skuad Harimau Malaya mendahului 1-0 sehingga 90 minit perlawanan sebelum Pansa Hemviboom menyamakan kedudukan pada minit terakhir. Perlawanan diheretkan ke penentuan penalti dan dimenangi oleh Malaysia 5-3.

“Sangat jelas Malaysia antara pasukan terkuat terutama format sekarang dimana kita ada permainan di tempat sendiri dan tempat lawan. Saya harap dapat bertemu mereka di separuh akhir.

“Kita tahu betapa bagus peminat bola sepak Malaysia, mereka akan sentiasa memenuhi Stadium. Kita tahu keputusan terakhir Thailand dan Malaysia, kita bertemu mereka (Malaysia) di Kejohanan Piala Raja Thai.

“Sudah tentu bagi saya, Malaysia menjadi antara calon untuk menjulang trofi,” kata Mano Polking.

Thailand yang merupakan juara bertahan akan membuka kempen kumpulan A bertemu Brunei di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada pukul 8.30 malam ini.

Satu lagi perlawanan dalam kumpulan A menemukan Kemboja menentang Filipina di Stadium Morodok Techo pada pukul 6.00 petang ini.

Manakala skuad Harimau Malaya akan menghadapi perlawanan pertama Kumpulan B bertemu Myanmar di Stadium Thuwunna pada hari esok, 21 Disember 2022 sebelum kembali ke tanah air, hari berikutnya.

Seterusnya, bertemu Laos pada perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 24 Disember 2022, dan hari berikutnya terbang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang Vietnam di Stadium My Dinh pada Selasa, 27 Disember 2022.

Pulang ke tanah air pada hari berikutnya, skuad Harimau Malaya tidak beraksi pada Hari Perlawanan 4 bagi Kumpulan B pada Jumaat, 30 Disember 2022 dan hanya akan kembali turun beraksi pada perlawanan terakhir kumpulan bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 3 Januari 2023.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023.