Pengendali Singapura, Takayuki Nishigaya membayangkan pasukannya akan bermain seperti biasa bukan dengan corak bertahan apabila dijadualkan bertemu Malaysia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Mereka tetap memburu 3 mata penuh walaupun hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir.

“Ini adalah perlawanan penting buat kami dan kedua-dua pasukan meskipun harus diakui kami memiliki kelebihan dengan tujuh mata berjaya dikutip berbanding Malaysia dengan enam mata ketika ini.

“Secara jujur, ini adalah aksi derbi serantau dan sudah pasti saya tidak mahu pasukan bermain dengan cara bertahan dan corak permainan yang saya terapkan sebelum ini tidak akan berubah.

“Apa yang pasti, saya faham dengan situasi Malaysia kerana mereka perlukan kemenangan tetapi mereka masih memiliki kelebihan daripada sudut beraksi di laman sendiri,” katanya pada sidang media semalam.

Walaupun tanpa kelibat penyerang utama, Ilhan Fandi yang mengalami kecederaan namun beberapa pemain mereka sudah biasa dengan corak permainan Harimau Malaya kerana pernah beraksi di Liga Malaysia.

Mereka termasuk Anumanthan (Kedah), bersama Hariss Harun (Lions XII, Johor Darul Takzim); Shakir Hamzah (Lions XII, Perak); Faris Ramli (Lions XII, PKNS, Terengganu); Shahdan Sulaiman (Lions XII, Melaka United); Nazrul Nazari dan Zulfahmi Arifin (Lions XII).

“Ia pastinya satu kelebihan  untuk mempunyai pemain yang pernah beraksi di sini. Malaysia sentiasa adalah pasukan kuat dan kami tahu bagaimana suasananya di stadium esok jadi pengalaman ini sangat baik untuk pasukan,” kata Anumathan yang beraksi dengan pasukan Kedah pada musim 2021.

Hanya dua pasukan terbaik kumpulan akan mara ke separuh akhir yang dimainkan dalam dua pusingan.

“Apa yang paling penting esok adalah kami mahu dapatkan tiga mata penuh. Kami akan bersiap untuk perlawanan ini sepertimana kami menentang Vietnam.

“Ya, perlawanan ini mengujakan sebab ia adalah Singapura lawan Malaysia tapi sasaran kami hanyalah satu, iaitu untuk menang,” tambah Anumanthan.