Skuad kebangsaan Singapura terpaksa beraksi di Stadium Jalan Besar dalam perlawanan pembukaan kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 menentang Myanmar apabila Stadium Nasional tidak dapat digunakan pada 24 Disember ini.

Hal ini kerana stadium yang mempunyai kapasiti 55,000 tempat duduk itu telah ditempah khas untuk acara konsert penyanyi dari Taiwan, Jay Chou yang berlangsung pada 17 dan 18 Disember.

Disebabkan itu, pengurusan stadium tersebut tidak sempat membuat persiapan untuk menyediakan padang serta kemudahan bilik persalinan dalam tempoh masa yang suntuk.

Justeru itu, mereka telah memilih Stadium Jalan Besar yang berkapasiti 6,000 penonton sebagai venue alternatif.

Namun begitu, ia bakal memberikan sedikit masalah kepada pasukan lawan kerana perlu cepat membiasakan diri untuk beraksi di atas padang rumput sintetik.

Selain Myanmar, Singapura juga bakal menjadi tuan rumah perlawanan penting menentang Vietnam pada 30 Disember. Jika tiada sebarang halangan, mereka akan kembali semula ke Stadium Nasional.

Stadium Nasional Singapura menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia yang akan membantu setiap pasukan membuat hantaran berkualiti dan mempamerkan corak permainan lebih baik.

Dua lagi pasukan yang melengkapkan kumpulan B ialah Malaysia dan Laos. Setiap pasukan berpeluang menjadi tuan rumah di negara masing-masing dan hanya dua pasukan teratas kumpulan sahaja akan mara ke peringkat separuh akhir.

Ini adalah kali keempat berturut-turut Malaysia berada dalam satu kumpulan dengan Vietnam dan peluang ini dilihat menjadi pentas terbaik buat pengendali negara, Kim Pan Gon membuat penilaian sebelum berdepan tugasan lebih getir di Piala Asia, tahun depan.

Sementara itu Kumpulan A menempatkan juara bertahan Thailand bersama Filipina, Indonesia, Kemboja dan satu lagi pasukan, sama ada Brunei atau Timor-Leste yang akan ditentukan melalui perlawanan play-off. .

Kejohanan AFF edisi 2022 bermula pada 23 Disember, lima hari selepas Piala Dunia FIFA akan datang di Qatar berakhir, memberikan aksi bola sepak berterusan untuk peminat bola sepak Asia Tenggara.