Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) hari ini mengumumkan senarai 24 pemain yang dipanggil menyertai pasukan kebangsaan bagi menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang berlangsung pada bulan depan.

Lebih menarik, pemain import Kedah Darul Aman (KDA), Sanrawat Dechmitr yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini turut dipanggil memperkuatkan jentera tengah pasukan itu.

Sanrawat menyertai Kedah pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dan sempat membantu skuad Helang Merah mara ke peringkat separuh akhir Piala AFC 2022 Zon ASEAN.

Pemain yang berusia 32 tahun ini mempunyai 29 kaps bersama skuad kebangsaan Thailand dan pernah beraksi menentang Malaysia ketika saingan Piala AFF Suzuki 2018.

Malah, Ketua jurulatih Thailand, Mano Polking kali ini tidak menyenaraikan beberapa tonggak utama seperti Chanathip Songkrasin, Supachai Jaided, Suphanat Mueanta dan Theerathon Bummanthan.

Difahamkan mereka tidak dapat pelepasan daripada kelab kerana kejohanan itu berada di luar kalendar FIFA.

Bagaimanapun, pasukan itu bakal diperkuatkan oleh dua penyerang berpengalaman iaitu Teerasil Dangda dan Adisak Kraisorn yang pernah menjuarai Piala AFF sebanyak 2 kali.

Turut menyertai skuad Thailand ialah Sarach Yooyen, Ekanit Panya, Bordin Phala, Sumanya Purisay, Sasalak Haiprakphon, Kritsada Kaman dan Pansa Hemviboon.

Sebagai persiapan menghadapi Piala AFF 2022, mereka telah mengatur perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Myanmar serta Taiwan pada 11 dan 14 Disember.

Juara bertahan Piala AFF itu diundi dalam kumpulan A dan dijadualkan bertemu Brunei pada aksi pembukaan (20 Disember) sebelum menghadapi lawan yang lebih kuat seperti Filipina (26 Disember), Indonesia (29 Disember) dan Kemboja (2 Januari 2023).

Hanya dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir yang berlangsung pada 6/7 Januari 2023 dan 9/10 Januari 2023 manakala Final pula dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023, semuanya secara timbal balik di venue masing-masing.